Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Kesan Sekumpulan Individu Disyaki Curi Kabel Di Jalan Tun Razak

curi kabel
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel di hadapan premis TREC, Jalan Tun Razak, di sini, selepas kejadian itu dirakam dan tular di media sosial hari ini.

Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 38 saat, yang dimuat naik di platform Threads pada kira-kira 9.50 pagi tadi.

Beliau berkata kejadian yang berlaku pada waktu siang itu, melibatkan sekumpulan individu yang menggunakan dua buah kenderaan ketika melakukan kegiatan memotong kabel di lokasi berkenaan.

“Semasa kejadian, kesemua suspek melarikan diri setelah dihampiri oleh orang awam. Tindakan mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Fadil turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi Hotline Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999, Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerusi talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial video terbabit memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di kawasan berhampiran jalan raya menggunakan dua kenderaan, termasuk sebuah pacuan empat roda.