Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Indonesia Siasat 97 Syarikat Berhubung Kebakaran Hutan, 20 Dinamakan Suspek

INDONESIA
Kredit: AFP

JAKARTA, 29 Okt (Bernama) -- Polis Indonesia sedang menyiasat 97 syarikat, termasuk 22 syarikat yang mempunyai kaitan dengan pihak asing, berhubung kes kebakaran hutan dan tanah di seluruh negara itu, dengan 20 syarikat telah dikenal pasti sebagai suspek.

Ketua Badan Siasatan Jenayah Polis Nasional (Bareskrim), Komisioner Jeneral Asep Safrudin berkata 16 daripada 20 syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek merupakan syarikat pelaburan domestik, manakala empat lagi adalah syarikat pelaburan asing.

“Jumlah syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek mungkin meningkat apabila siasatan diteruskan,” katanya pada sidang media di Pontianak, Kalimantan Barat, pada Khamis yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

Asep berkata syarikat yang dikenal pasti sebagai suspek telah melantik wakil pengurusan bagi menghadapi prosiding undang-undang, dengan kertas siasatan akan dikemukakan kepada pendakwa raya sebelum kes dibawa ke mahkamah.

Syarikat terbabit disiasat mengikut Artikel 98, 99 dan 108 Undang-Undang Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar yang merangkumi kesalahan alam sekitar secara sengaja atau akibat kecuaian serta pembakaran tanah.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun terhadap individu yang bertanggungjawab dan denda sehingga Rp15 bilion (RM3.36 juta).

“Kami mengambil tindakan terhadap syarikat yang mempunyai kaitan dengan pihak asing atau menerima pembiayaan daripada pelaburan luar negara kerana kesalahan yang didakwa berlaku dalam bidang kuasa Republik Indonesia,” katanya.

Asep berkata polis telah mengesyorkan pembatalan lesen perniagaan 23 syarikat susulan penemuan termasuk kejadian kebakaran berulang dalam kawasan konsesi, kebakaran yang berpunca dari tanah milik syarikat, kemudahan pemadaman kebakaran yang tidak mencukupi serta kawasan terbakar melebihi 500 hektar.

Beliau berkata polis setakat ini menerima 104 laporan melibatkan syarikat, merangkumi kawasan terbakar seluas 29,168.78 hektar, termasuk 33 laporan di Kalimantan Barat, 20 di Sumatera Selatan, 14 di Kalimantan Tengah, 13 di Kalimantan Selatan dan tujuh di Kalimantan Timur.

Bagi kes melibatkan individu, polis menerima 287 laporan merangkumi kawasan terbakar seluas 5,859.12 hektar, dengan 245 individu dikenal pasti sebagai suspek.

Kalimantan Barat mencatatkan jumlah laporan polis tertinggi melibatkan individu iaitu 68, diikuti Riau (59), Kalimantan Tengah (43), Sumatera Selatan (42) dan Kalimantan Timur (30).

Asep berkata kes melibatkan individu secara umumnya berkaitan pembakaran secara sengaja atau akibat kecuaian bagi tujuan pembersihan tanah, dengan suspek disiasat mengikut undang-undang perlindungan alam sekitar, perladangan dan perhutanan.

-- BERNAMA