Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Tegaskan Keterbukaan Dan Kerjasama Ekonomi Perlu Dipertahan Dalam Ketegangan Geopolitik

ekonomi
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keterbukaan dan kerjasama ekonomi perlu terus didukung serta dipertahankan ketika ketegangan geopolitik dunia semakin meruncing.

Iklan

Katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Malaysia turut menyeru supaya sistem serta tatacara perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan diperkukuh, selain memperluas keseragaman ekonomi di peringkat serantau.

Menurutnya, makna sebenar kemakmuran bersama perlu dilihat melalui sejauh mana pekerjaan yang diwujudkan mampu memberikan kehidupan lebih baik, meningkatkan taraf hidup serta menyediakan peluang yang lebih saksama kepada rakyat.

“Dalam premis yang sama, makna yang lebih mendasar kepada konsep kemakmuran bersama terletak pada sejauh mana pekerjaan yang diwujudkan adalah lebih baik, taraf hidup yang meningkat dan peluang yang sedia dan lebih saksama,” katanya.

Ujarnya, prinsip berkenaan turut perlu menjadi asas dalam memacu kemajuan bidang kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, Malaysia perlu mendukung tatakelola digital dan AI yang berteraskan etika, selain memperkukuh keselamatan siber serta memastikan manfaat teknologi dapat dinikmati oleh negara dan kuasa ekonomi di dunia Selatan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menghargai prakarsa Presiden China, Xi Jinping dalam merangkul Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.

Menurutnya, usaha berkenaan membuka ruang kepada wacana serta persefahaman yang bermakna ke arah mewujudkan keamanan dan kerukunan yang berkekalan.

“Usaha ini pastinya menjamin serta membuka ruang wacana dan persefahaman yang bermakna ke arah keamanan dan kerukunan yang berkekalan,” ujarnya.

Anwar turut menekankan gagasan Confucius mengenai keharmonian dalam kepelbagaian yang disifatkan wajar dijadikan pedoman dalam menghadapi keadaan dunia ketika ini.

Katanya, meskipun dunia berdepan pelbagai pergolakan, Asia Pasifik mampu menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa persaingan boleh bergerak seiring dengan kerjasama.

Beliau berkata, hasil kemajuan juga perlu dikongsi secara lebih adil dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“Meski dalam keadaan dunia yang berantakan kini, Asia Pasifik mampu memperlihatkan kepada dunia bahawa persaingan boleh berjalan seiring dengan kerjasama, dan bahawa hasil kemajuan boleh dikongsi dengan lebih adil dan manusiawi,” jelasnya.

Intipati
  • Anwar menegaskan keterbukaan dan kerjasama ekonomi perlu dipertahankan ketika ketegangan geopolitik meningkat.
  • Beliau menyeru perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan diperkukuh serta keseragaman ekonomi serantau diperluas.
  • Anwar berkata kemajuan AI perlu dipacu tatakelola beretika, keselamatan siber dan manfaat lebih saksama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan