Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan komuniti diaspora Malaysia di luar negara sebagai ‘duta tidak rasmi’ yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh imej dan reputasi negara di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis bersama diaspora Malaysia di Ashgabat, hari ini.
Menurut Anwar, meskipun berada jauh dari tanah air, semangat dan keakraban rakyat Malaysia di luar negara tetap utuh serta mencerminkan jati diri bangsa.
“Alhamdulillah dapat meraikan diaspora Malaysia di Ashgabat. Meski jauh dari tanah air tercinta, semangat dan kehangatan keakraban mereka terasa seperti kita berkumpul di Kuala Lumpur.
“Mereka ini adalah duta tidak rasmi negara yang punyai nurani untuk mencipta reputasi dan imej negara, memperluas jaringan dan melonjak maruah negara ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengambil kesempatan menjelaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mempererat hubungan dengan rakyat Malaysia di luar negara.
Katanya, kerajaan mahu memastikan warga Malaysia di perantauan sentiasa terhubung dengan tanah air serta diiktiraf sebagai sebahagian daripada nadi pembangunan negara.
“Saya juga menjelaskan matlamat kunjungan ke Ashgabat yang bukan hanya tertumpu kepada aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
“Sebaliknya, ia juga melibatkan usaha memperluas persahabatan antara negara, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Terdahulu, pesawat yang membawa Anwar selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada pukul 8 malam waktu tempatan, bersamaan 11 malam waktu Malaysia bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.