Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Seru Pembaharuan Sistem Pembiayaan Antarabangsa Lebih Adil, Elak Negara Terjerat Hutang

HUTANG
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya sistem pembiayaan antarabangsa diperbaharui bagi memastikan ia lebih adil dan tidak menjerumuskan negara membangun ke dalam beban hutang yang tidak tertanggung.

Beliau berkata, langkah berkenaan penting ketika banyak negara masih berdepan cabaran untuk mencapai kemajuan ekonomi, malah terpaksa memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan bagi membayar faedah hutang berbanding membiayai sektor pendidikan dan kesihatan.

“Sistem pembiayaan antarabangsa perlu lebih adil dan tidak menjerumuskan negara ke dalam hutang yang tidak tertanggung hanya kerana mahu memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, hari ini.

Anwar turut menggesa supaya inisiatif menerusi New Development Bank dipercepatkan, selain memperluas mekanisme penyelesaian perdagangan menggunakan mata wang tempatan dan meneroka potensi pasaran modal Islam.

Menurut beliau, negara-negara BRICS juga perlu mengambil langkah konkrit bagi menangani amalan perdagangan tidak adil, selain berkongsi pengalaman pembangunan serta memperkukuh kerjasama teknikal dan latihan dalam bidang baharu termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

“Peralihan hijau mesti mengambil kira realiti dan tahap pembangunan setiap negara kerana tidak semua mampu bergerak pada kadar atau melalui jalan yang sama.

“BRICS memiliki kelebihan geoekonomi menerusi pasarannya yang luas sekali gus membuka ruang mempelbagaikan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat serta menjana kemakmuran bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan usaha mencapai pertumbuhan inklusif dan kemakmuran tidak boleh dipisahkan daripada perkembangan konflik geopolitik yang turut memberi kesan kepada ekonomi dunia.

“Pencerobohan Israel di Asia Barat turut menyebabkan negara-negara yang tidak terlibat dalam peperangan ini menanggung akibat melalui inflasi dan ketidaktentuan ekonomi.

“Pendirian Malaysia jelas: kedaulatan mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan utama ekonomi dunia tidak boleh dijadikan medan pertempuran,” tegasnya.

Anwar turut menegaskan BRICS perlu menyatakan pendirian jelas bahawa pendudukan, penjajahan oleh peneroka serta keganasan tidak boleh dibiarkan berterusan, selain setiap nyawa manusia perlu dipertahankan tanpa mengira lokasi.

“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermaksud kebebasan menentukan haluan sendiri dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila ia benar-benar diperlukan.

“Sebagai Negara Rakan BRICS, Malaysia bersedia menyumbang dengan semangat ini,” katanya.

Intipati
  • Anwar menyeru sistem pembiayaan antarabangsa diperbaharui supaya lebih adil kepada negara membangun.
  • Beliau menggesa New Development Bank dipercepatkan dan perdagangan mata wang tempatan diperluas.
  • Anwar berkata konflik geopolitik, termasuk di Asia Barat, turut menjejaskan ekonomi dunia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan