Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan antarabangsa yang lebih konkrit diambil terhadap pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Pengerusinya, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya mengalu-alukan kenyataan bersama 12 negara Barat pada 8 September lalu, khususnya langkah Britain, Kanada dan Perancis mengharamkan perdagangan barangan yang berasal dari penempatan Israel.
Menurut beliau, langkah berkenaan membuktikan masyarakat antarabangsa mempunyai instrumen yang lebih berkesan selain sekadar kecaman diplomatik.
“Selama beberapa dekad, penempatan terus berkembang, tanah Palestin dirampas dan masyarakat dipindahkan walaupun bantahan antarabangsa berulang kali dibuat.
“Undang-undang antarabangsa kehilangan maknanya apabila pelanggaran dikecam tanpa sebarang akibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee berkata PKR bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri bahawa langkah berkenaan perlu dilaksanakan dengan tegas dan disusuli usaha memperkukuh akauntabiliti.
Katanya, kerajaan yang komited terhadap undang-undang antarabangsa perlu memastikan sistem perdagangan, pelaburan dan kewangan mereka tidak memudahkan atau mengaut keuntungan daripada aktiviti penempatan Israel.
Beliau turut menyifatkan pengiktirafan United Kingdom terhadap ketidakabsahan pendudukan berterusan Israel, selain pengakuan berhubung pemindahan penduduk secara paksa dan peningkatan keganasan peneroka di Tebing Barat, sebagai perkembangan penting.
“Perkembangan ini seharusnya menggerakkan tindak balas antarabangsa daripada sekadar menyatakan kebimbangan kepada usaha mewujudkan tanggungjawab dan akauntabiliti,” katanya.
Dalam pada itu, Maszlee menegaskan prinsip sama perlu diterapkan terhadap situasi di Gaza, termasuk memastikan akauntabiliti terhadap kemusnahan besar-besaran dan kematian orang awam, selain akses kemanusiaan yang penuh dan tanpa halangan.
Katanya, undang-undang kemanusiaan antarabangsa tidak boleh dilaksanakan secara terpilih berdasarkan pakatan politik atau kepentingan strategik.
Beliau berkata Malaysia secara konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat.
“Ini bukan mengenai permusuhan terhadap mana-mana bangsa atau agama. Ia mengenai persoalan sama ada undang-undang antarabangsa terpakai secara sama rata kepada semua.
“Keamanan yang adil dan berkekalan tidak boleh dibina berasaskan pendudukan, perampasan hak dan kekebalan daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Maszlee berkata penyelesaian dua negara yang berdaya maju juga tidak akan dapat direalisasikan selagi wilayah Palestin terus terpecah akibat penempatan Israel.
Beliau berkata langkah yang diumumkan beberapa negara berkenaan dialu-alukan, namun ia perlu menjadi permulaan dan bukannya pengakhiran kepada tindakan antarabangsa.
“Sudah tiba masanya untuk beralih daripada kecaman kepada tindakan yang membawa akibat, dan daripada kenyataan kepada tindakan,” katanya.


