Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Petrosains Perkenal Inisiatif Neuroinklusif, Buka Peluang STEM Kepada Semua Kanak-Kanak

Petrosains memperkenalkan inisiatif ‘My World of Wonder’ sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 bagi menyediakan pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang lebih inklusif, khususnya untuk kanak-kanak neurodivergen.

Iklan

Program yang berlangsung di Petrosains, Suria KLCC pada 22 November itu memberi peluang kepada kanak-kanak dengan keperluan deria dan pembelajaran berbeza untuk meneroka sains mengikut keselesaan serta kemampuan masing-masing.

Menerusi pendekatan ini, Petrosains mengambil kira cabaran yang mungkin dihadapi sesetengah kanak-kanak ketika berada dalam persekitaran yang mempunyai cahaya terang, bunyi kuat, suasana sesak atau perubahan aktiviti secara tiba-tiba.

Antara pendekatan yang diperkenalkan ialah konsep ‘Join, Pause, Rejoin’, yang membolehkan kanak-kanak menyertai aktiviti apabila bersedia, berehat apabila diperlukan dan kembali mengambil bahagian mengikut keselesaan mereka.

Kemudahan sokongan turut disediakan, termasuk beg galas sensori, kad komunikasi visual, peta sensori, panduan sosial (social stories), laluan lebih tenang serta ruang khas untuk berehat dan menenangkan diri.

Ketua Pengalaman Petrosains, Tajuddeen Abdul Majid berkata, setiap kanak-kanak mempunyai cara tersendiri untuk meneroka dan memahami sesuatu perkara, justeru pengalaman pembelajaran perlu mengambil kira kepelbagaian tersebut.

Menurutnya, usaha mewujudkan persekitaran inklusif bukan sekadar membuka peluang kepada semua kanak-kanak untuk hadir, tetapi turut memastikan mereka berasa selesa dan mendapat sokongan untuk mengambil bahagian.

Inisiatif itu juga memberi tumpuan kepada keseluruhan pengalaman pengunjung, termasuk persediaan sebelum lawatan, kemudahan sepanjang berada di Petrosains serta maklum balas keluarga selepas lawatan.

Selain di Petrosains, Suria KLCC, sambutan sama turut diadakan di pusat-pusat satelit Petrosains PlaySmart di seluruh negara menerusi aktiviti yang disesuaikan dengan komuniti setempat.

Pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama PETRONAS Education & Human Capital Investment (EHCI), Makmal Pembelajaran Autisme UKM, PERMATA Kurnia, SEJOLLY PLT dan Playhouse Therapy Centre.

Antara aktiviti STEM yang disediakan termasuk Gentle Glow, Circuit Explorer, Paper Cup Circuit, Jom Jam dan Fabulous Fizzles. Kanak-kanak juga berpeluang menyertai aktiviti Sensory Explorers di Pancasains yang membolehkan mereka meneroka cahaya, bunyi dan sentuhan mengikut keselesaan masing-masing.

Bagi memastikan pengalaman lebih selesa, ruang khas turut disediakan di Galaxy Hall dengan kemudahan seperti beanbag, alat fidget, fon kepala dan pemasa visual.

Menurut Petrosains, pelaksanaan inisiatif ini juga menjadi peluang untuk menilai keberkesanan pendekatan neuroinklusif dalam persekitaran sebenar. Maklum balas yang diterima akan digunakan bagi menambah baik pengalaman pengunjung serta merancang lebih banyak penawaran bersesuaian untuk kanak-kanak neurodivergen dan keluarga mereka pada 2027.

Melalui inisiatif ‘My World of Wonder’, Petrosains berharap dapat memperluas peluang pembelajaran STEM agar dapat dinikmati oleh lebih ramai kanak-kanak tanpa mengira perbezaan keperluan, keupayaan dan cara pembelajaran.