Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pernah Gubah Muzik Dragon Ball Z, Nathan Johnson Kini Dipilih Jadi Peguam Negara Texas

Nathan Johnson
Kredit: Nathan For Texas

Pernah menjadi komposer muzik bagi siri anime terkenal Dragon Ball Z, ahli politik daripada Parti Demokrat, Nathan Johnson, dipilih sebagai Peguam Negara Texas pada Selasa.

Iklan

Memetik AFP, Johnson memperoleh majoriti undi di hampir semua daerah sempadan dan bandar utama di negeri selatan Amerika Syarikat itu dalam persaingannya menentang calon Republikan, Mayes Middleton, sekali gus muncul sebagai pendakwa raya tertinggi di Texas.

Nathan Johnson kini Peguam Negara bagi negeri Texas

“Jika anda membesar dengan menonton Dragon Ball Z, mungkin anda lebih mengenali saya daripada yang anda sangkakan. Saya menggubah skor muzik untuk 67 episod dan lima filem, dan saya sangat seronok melakukannya,” tulis Johnson, 58, menerusi hantaran di Facebook.

Siri anime popular Jepun yang telah lama bersiaran itu mengisahkan sekumpulan ahli seni mempertahankan diri yang berjuang melindungi Bumi daripada ancaman makhluk asing, raksasa dan pelbagai musuh lain.

“Ketika itu, saya mempunyai seorang anak berusia setahun. Saya masih ingat dia duduk di atas riba saya sambil melihat pelbagai adegan letupan. Dia akan berkata, 'Oh, ayah, Goku!'

“Dia merasakan perkara itu sangat hebat,” kata Johnson dalam video yang dimuat naiknya, merujuk kepada watak utama siri berkenaan.

Menurut Johnson, pengalaman tersebut memberinya ruang untuk berkarya serta mendekati budaya popular, sesuatu yang tidak ramai berpeluang merasainya.

Kredit: Nathan For Texas

Berdasarkan pangkalan data dalam talian IMDb, Johnson disenaraikan sebagai komposer bagi puluhan episod antara tahun 1990 hingga 2008. Beliau juga pernah terlibat sebagai pelakon suara dalam filem anime Berserk.

Johnson, seorang peguam litigasi berpengalaman yang memiliki ijazah dalam bidang fizik dan undang-undang, telah berkhidmat sebagai senator negeri Texas sejak 2019.

Beliau bakal mengambil alih jawatan Peguam Negara daripada penyandang Republikan, Ken Paxton.

Paxton sebelum ini tewas kepada calon Demokrat, James Talarico, dalam persaingan merebut kerusi Senat Amerika Syarikat meskipun mendapat sokongan terbuka daripada Presiden Donald Trump.

Intipati
  • Nathan Johnson dipilih sebagai Peguam Negara Texas selepas menewaskan calon Republikan Mayes Middleton.
  • Johnson pernah menggubah skor muzik untuk 67 episod dan lima filem Dragon Ball Z.
  • Beliau senator negeri Texas sejak 2019 dan bakal menggantikan penyandang Republikan Ken Paxton.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan