Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Makin 'Ganas', Malaysia Catat Jumlah Perdagangan Lebih RM1 Trilion

Adib Haiqal
Perdagangan Malaysia
Kredit: Bernama

Makin 'Ganas', Malaysia Catat Jumlah Perdagangan Lebih RM1 Trilion

Malaysia mencatat jumlah perdagangan negara melepasi RM1 trilion dalam tempoh hanya empat bulan pertama 2026, sekali gus menandakan peningkatan ketara daya saing ekonomi di peringkat global.

Perdagangan Malaysia Lepasi RM1 Trillion

Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nur Surayya Mohd Saudi, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kukuh bahawa Malaysia semakin memanfaatkan permintaan global terhadap sektor teknologi tinggi, khususnya cip semikonduktor dan teknologi digital.

“Prestasi ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam memperkukuh kedudukan sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan teknologi global,” katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan ini banyak didorong oleh industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi antara penyumbang utama kepada eksport negara.

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan sektor pembuatan menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan subsektor E&E mencatat pertumbuhan kukuh 12.7 peratus pada tahun 2025.

Dalam masa sama, ekonomi Malaysia dilaporkan berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun yang sama, disokong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang bersama-sama menyumbang lebih 80 peratus kepada KDNK negara.

Menurut beliau, keadaan ini mencerminkan asas ekonomi negara yang kekal kukuh serta berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Bagaimanapun, Dr Nur Surayya turut mengingatkan bahawa kebergantungan tinggi terhadap pasaran eksport dan sektor E&E boleh mendedahkan ekonomi negara kepada risiko turun naik permintaan global, ketegangan perdagangan serta persaingan geopolitik dalam bidang teknologi.

Beliau menegaskan Malaysia perlu terus memperkukuh ekosistem inovasi tempatan melalui pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, kerajaan dan industri disaran mempercepat penguasaan teknologi tempatan termasuk reka bentuk cip, automasi serta pembangunan teknologi baharu agar Malaysia dapat muncul sebagai hab ekonomi digital dan teknologi tinggi utama di Asia.

Terdahulu, Malaysia mencatat sejarah apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM1.127 trilion bagi tempoh Januari hingga April 2026, rekod terpantas negara melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata pencapaian itu dipacu oleh permintaan tinggi terhadap produk berteknologi tinggi dan bernilai tambah, khususnya sektor E&E, selain peluasan pasaran eksport Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Sumber:RTM