Pantai di Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan ramai selepas seekor penyu belimbing dikesan kembali bertelur pada awal pagi Selasa.
Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memaklumkan penyu berkenaan mendarat di Pantai Kuala Abang sekitar jam 2 pagi sebelum bertelur sebanyak 70 biji.

“Sekali lagi kita digemparkan dengan penemuan Raja Penyu yang kembali bertelur di pantai di Terengganu.
“Lebih menarik pada kali ini, kakitangan Pejabat Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah dan pemajak telur kawasan Rantau Abang (ZON B) Mohd Salleh bukan sekadar melihat jejak dan telur penyu.
“Tetapi turut dapat menyaksikan si ibu penyu bertelur sebelum kembali semula merentas samudera,” katanya.
Penyu Belimbing Bertelur Lagi
Menurut jabatan itu, keseluruhan telur telah dipindahkan dan ditanam di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang untuk proses pengeraman.
Penyu tersebut kembali ke laut secara selamat pada jam 6 pagi usai bertelur.
“Ibu penyu ini berkemungkinan penyu yang sama mendarat pada 1 dan 13 September yang lalu.
“Kemungkinan juga, ini bukanlah pendaratan terakhir bagi sang penyu kerana seekor ibu penyu boleh melepaskan telur sebanyak 5 kali sepanjang proses bertelur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga perikanan yang terlibat.
Ia termasuk WWF Malaysia, Geng Plastik Ija serta NGO-NGO yang selama ini menyokong aktiviti konservasi pihak Jabatan Perikanan Malaysia dalam usaha pemuliharaan Pantai Dan kelastarian penyu di Terengganu.
