Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penyakit Bawaan Tikus Yang Boleh Sebabkan Maut, Ini Cara Hantavirus Jangkiti Manusia
Tiga individu dilaporkan maut selepas wabak disyaki Hantavirus berlaku di atas sebuah kapal persiaran yang belayar antara Argentina dan Cape Verde.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini mengesahkan satu kes virus yang berpotensi membawa maut.
Bagaiamanapun, risiko kepada orang awam dikatakan kekal rendah.
Mungkin ada yang terkejut mengenai berita ini dan menyangka bahawa ia virus baharu. Jangan keliru, Hantavirus sudah sekian lama wujud dan berlaku sepanjang tahun.
Hantavirus merupakan virus yang merebak melalui air kencing, najis atau air liur tikus liar, termasuk deer mice (yang kebiasaannya terdapat di banyak tempat di California).
Memetik AFP, virus ini ditemui di seluruh dunia dengan jangkitan berlaku sepanjang tahun. Sebagai contoh China, Rusia dan Korea Selatan melaporkan ribuan kes setiap tahun.
Di benua Amerika, Finland dan Perancis pula mencatatkan ratusan kes setiap tahun.

Untuk pengetahuan, manusia boleh dijangkiti Hantavirus apabila menyedut udara yang tercemar dengan virus tersebut.
Partikel yang mengandungi Hantavirus boleh berada di udara apabila air kencing, air liur atau najis tikus yang telah kering terganggu dan berterbangan.
Risiko jangkitan Hantavirus meningkat apabila seseorang membuka atau membersihkan bangunan di kawasan luar bandar yang telah lama ditutup, terutamanya pada musim sejuk di mana tikus seperti deer mice mungkin pernah memasuki ruang tersebut.
Dalam kes yang jarang berlaku, jangkitan juga boleh berlaku melalui gigitan.
Satu-satunya cara mengurangkan risiko ialah mengelakkan sentuhan dengan tikus serta bahan buangan mereka.

Risiko juga lebih tinggi bagi individu yang bekerja, bermain atau tinggal di ruang tertutup yang mempunyai kehadiran tikus.
Penularan juga hanya berlaku melalui hubungan rapat dan berpanjangan, seperti dalam kalangan ahli keluarga.
Hantavirus dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu dunia lama (Eropah, Asia dan Afrika) dan dunia baharu (Amerika Utara, Tengah dan Selatan).
Bagi virus dunia lama, kadar kematian boleh mencecah sehingga 14 peratus. Namun, di negara maju seperti Perancis, kes kematian amat jarang berlaku dan biasanya melibatkan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada
Sesetengah kes tidak menunjukkan simptom atau hanya mengalami sakit badan, ketidakselesaan perut dan batuk ringan. Dalam kes jarang berlaku, ia boleh menyebabkan masalah buah pinggang yang membawa kepada kegagalan buah pinggang akut tetapi boleh pulih.
Sebaliknya, virus dunia baharu mempunyai kadar kematian lebih tinggi, melebihi 40 peratus. Jangkitan boleh merebak ke paru-paru dengan cepat, menyebabkan masalah pernafasan atau kadang kala menjejaskan jantung.
Di benua Amerika, ada kes jangkitan yang menyebabkan sindrom kardiopulmonari hantavirus (HCPS) yang menjejaskan paru-paru dan jantung.
Manakala di Eropah dan Asia, hantavirus boleh menyebabkan demam berdarah dengan sindrom buah pinggang (HFRS), yang menjejaskan buah pinggang dan saluran darah.
Namun, tempoh antara pendedahan dan kemunculan simptom berbeza-beza.
Menurut Centers for Disease Control and Prevention, simptom biasanya muncul antara satu hingga lapan minggu, manakala HFRS boleh berkembang dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Simptom awal termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit perut, loya atau muntah.

Dalam kes HCPS, penyakit boleh berkembang dengan cepat kepada batuk, sesak nafas, pengumpulan cecair dalam paru-paru dan kejutan.
Bagi HFRS pula, peringkat lanjut boleh melibatkan tekanan darah rendah, gangguan pendarahan dan kegagalan buah pinggang.
Tiada rawatan khusus untuk jangkitan ini, namun rawatan perubatan awal boleh membantu sekiranya penyakit menjadi lebih teruk.
Jika paru-paru terjejas teruk, pesakit mungkin memerlukan terapi oksigen di unit rawatan rapi.