Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelantikan Muhammad Faris Sebagai Undang Luak Sungei Ujong Tidak Sah - Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong

Iqbal Yasir
Undang Luak Sungei Ujong Tidak Sah
Kredit; Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong

Pelantikan Muhammad Faris Sebagai Undang Luak Sungei Ujong Tidak Sah - Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong

Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong mendakwa pelantikan akuantan muda, Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pelantikan Undang Luak Sungei Ujong memerlukan persetujuan sebulat suara semua ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan ibu-ibu soko waris Klana Hilir selain persetujuan sebulat suara kesemua Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong.

Ia termasuk pengisytiharan berkenaan juga mestilah dibuat oleh Datuk Shahbandar Sungei Ujong.

"Dalam isu pelantikan Muhammad Faris, tiada langsung persetujuan sebulat suara dari ibu-ibu soko waris Klana Hulu, waris Klana Hilir dan tiada langsung persetujuan dari Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah di dalam Luak Sungei Ujong.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa penama Shaharumzaman Abdul Malek yang disebut sebagai Orang Kaya Datuk Laksamana pula telah dipecat pada 20 Mac 2026 dan surat pemecatan telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 30 Mac 2026.

Penama berkenaan tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di dalam Luak Sungei Ujong, sekali gus tiada kuasa dalam melantik Undang Luak Sungei Ujong.

Malah katanya, nama Zainol Ariffin Ibrahim sebagai Datuk Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat yang mengesahkan pelantikan tersebut juga telah dipecat pada 28 November 2024 dengan surat pengesahan pemecatan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU pada 2 Disember 2024.

Kenyataan itu menegaskan bahawa Datuk Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah ialah Sazali Mohamed Yasin yang dilantik pada 1 April 2025 dengan surat pengesahan lantikan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat DKU bertarikh 11 April 2025.

"Kami menegaskan sekali lagi, adalah dengan ini kami Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong melafazkan taat setia sepenuhnya kepada Datuk Klana Petra Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah hingga kini.

"Kami menasihatkan kepada semua agar urusan Luak Sungei Ujong dirujuk terus kepada Dato-Dato' Lembaga Adat Sungei Ujong yang sah agar tiada kekeliruan yang berlaku," maklum kenyataan itu.

Tambahnya, mana-mana penama-penama yang telah dipecat tiada lagi sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong.

Pengesahan penubuhan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong itu tiada kaitan dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong dan penubuhannya di luar pengetahuan Undang Luak Sungei Ujong

"Merujuk kepada surat DKU bertarikh 22 April 2025, penubuhan ini tiada pengesahan dari Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan," kata kenyataan itu lagi.