Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar Malaysia Tidak Terlibat Dengan Isu Penipuan Badal Haji, Umrah, Qurban, Aqiqah & Sabil - PPMM
Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPMM) menegaskan tiada pelajar Malaysia di Mekah, Jeddah dan Taif terlibat atau mewakili mana-mana pihak dalam sebarang aktiviti penipuan berkaitan pelaksanaan badal haji, umrah, qurban, aqiqah dan agihan makanan (sabil) murah pada harga terlalu rendah.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh PPMM menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook rasmi persatuan tersebut.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, PPMM berkata terdapat pihak yang mendakwa mereka menggunakan perkhidmatan penduduk tempatan atau petugas haji yang diberikan pas bertugas untuk melaksanakan badal haji di Arafah.
“Peraturan terkini menetapkan petugas haji, semasa bertugas, tidak dibenarkan mengenakan kain ihram dan tidak dibenarkan memasuki Masjidilharam dalam keadaan berihram.
“Sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan seperti denda atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” kata PPMM.
Oleh itu, PPMM meminta orang ramai agar memastikan urusan pelaksanaan ibadah badal haji, umrah, aqiqah dan agihan makanan diserahkan kepada agensi pelancongan rasmi yang berdaftar dengan MOTAC bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan.
Orang ramai juga boleh menyalurkan amanah tersebut menerusi platform rasmi yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi seperti Tawkeel dan Adahi atau kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar secara rasmi.
Pada masa yang sama, orang ramai juga perlu membuat penilai kewajaran kos sebelum menyerahkan amanah ibadah tersebut kepada mana-mana pihak.
“Kos minimum permit haji bagi penduduk di Mekah dan sekitarnya bermula SAR9,000 (tidak termasuk kos sara hidup pelaksana).
“Manakala kos sembelihan korban dan aqiqah melalui tempat sembelihan rasmi kerajaan Arab Saudi bermula SAR720,” kata PPMM.
Tindakan melaksanakan sembelihan qurban, aqiqah dan mengagihkan makanan tanpa permit yang sah daripada kerajaan Arab Saudi merupakan satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan denda atau penjara.
PPMM juga mengingatkan orang ramai bahawa kos sebenar untuk melaksanakan ibadah haji adalah tinggi.
Justeru, bayaran murah untuk badal haji boleh menyebabkan pelaksana bertindak menggunakan satu nama untuk menggantikan beberapa individu, yang menjejaskan kesahihan ibadah tersebut.
Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga sentiasa mengemaskini undang-undang demi kemaslahatan umat Islam sejagat.
Rakyat Malaysia juga digesa untuk sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi untuk memastikan kemudahan visa dan hak jemaah Malaysia tidak terjejas.