Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pekerja Makmal Meninggal Dunia Akibat Wabak Di Rusia, Hampir 200 Individu Dalam Pemantauan

Meninggal Akibat Wabak Di Rusia
Gambar Hiasan

Hampir 200 individu kini diletakkan di bawah pemantauan perubatan selepas wanita meninggal dunia akibat wabak di wilayah Irkutsk, Siberia, Rusia.

Sekurang-kurangnya 197 individu yang dipercayai mempunyai kontak dengan wanita berkenaan telah diasingkan, termasuk lebih 100 orang yang ditempatkan di wad hospital.

Mangsa dikenal pasti sebagai Daria Sh., berusia antara 27 hingga 28 tahun, yang bekerja di Institut Antiwabak Irkutsk.

Menurut laporan media Lyudi Baikala dan REN TV, Daria dipercayai terdedah kepada bakteria ketika menjalankan tugas mengumpul sampel untuk tujuan ujian.

Dia dilaporkan memberitahu petugas perubatan bahawa dia secara tidak sengaja memecahkan tabung uji yang mengandungi bakteria hidup ketika mengambil sampel berkenaan.

Daria kemudian dimasukkan ke hospital di Shelekhov pada Selasa selepas mengalami gejala radang paru-paru yang teruk sebelum keadaannya semakin merosot.

Dia kemudiannya memerlukan bantuan mesin pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada Khamis, menurut laporan media.

Pekerja Makmal Meninggal Dunia Akibat Wabak Di Rusia

Gambar Hiasan

Hospital daerah Shelekhov turut dikenakan perintah kuarantin sementara menunggu penilaian daripada sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti keadaan tersebut.

Ketua wilayah Irkutsk, Igor Kobzev, meminta orang ramai supaya bertenang selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Rospotrebnadzor, Anna Popova, bagi menyelaraskan langkah membendung penularan.

Menurut Kobzev, semua individu yang dikenal pasti mempunyai kontak dengan mangsa telah diletakkan di bawah pemantauan perubatan.

Beliau berkata, setakat ini, tiada seorang pun daripada individu terbabit menunjukkan tanda-tanda penyakit, manakala keputusan ujian makmal mereka juga negatif.

Pihak berkuasa turut membatalkan beberapa acara awam yang dirancang di Irkutsk sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian berkenaan.

Pada masa sama, pihak penguat kuasa dilaporkan membuka siasatan jenayah berhubung kemungkinan pelanggaran peraturan keselamatan kesihatan yang menyebabkan kematian.

Ketua Republik Buryatia, Alexei Tsydenov, sebelum ini mengesahkan wanita terbabit meninggal dunia akibat sejenis wabak, namun tidak menjelaskan jenisnya.

Beliau turut menegaskan bahawa wanita berkenaan tidak pernah mengunjungi Buryatia dan jangkitan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan republik berkenaan.

“Tiada wabak di republik ini, termasuk di kawasan yang bersempadan dengan Mongolia,” katanya menerusi media sosial.

Sementara itu, laporan media mendakwa penyakit yang dialami mangsa berkemungkinan merupakan wabak pneumonik yang menyerang paru-paru dan boleh merebak antara manusia melalui titisan pernafasan.

Namun, kenyataan Tsydenov tidak menyatakan secara khusus jenis wabak yang menyebabkan kematian wanita berkenaan.

Intipati
  • Hampir 200 individu dipantau selepas pekerja makmal meninggal dunia di Irkutsk, Rusia.
  • Daria dipercayai terdedah kepada bakteria ketika mengumpul sampel dan memecahkan tabung uji.
  • Pihak berkuasa berkata semua kontak belum menunjukkan gejala dan ujian makmal negatif.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan