Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengeluaran pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan serta-merta sehingga isu berkaitan dengan syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) diselesaikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemegang pasport sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
Menurutnya, pemegang pasport terbabit turut diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport bagi memastikan perjalanan mereka tidak terjejas.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zakaria berkata, JIM mengambil maklum mengenai isu tular membabitkan beberapa pemegang pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun yang menghadapi kesulitan untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Katanya, perkara itu telah dirujuk kepada ICAO dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Bagaimanapun, jelasnya, kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang pasport berkenaan menghadapi masalah ketika proses daftar masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan itu, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum pasport Malaysia adalah 10 tahun sahaja.
“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku pasport Malaysia serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya.
Tambah Zakaria, JIM komited memastikan pelaksanaan pasport Malaysia terus ditambah baik bagi memberi kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Sebelum ini, beberapa rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kesukaran untuk melakukan penerbangan ke destinasi antarabangsa susulan tempoh sah laku pasport mereka yang melebihi 10 tahun.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan