Bersaing dengan fungsi kamera telefon pintar yang lebih baik, Nikon Corp dilaporkan bakal menamatkan pengeluaran badan kamera di Jepun pada akhir tahun ini.
Menurut The Mainichi, sebagai sebahagian daripada penstrukturan baharu, pengeluaran model kamera tersebut akan dipindahkan dari sebuah kilang di Miyagi Prefecture (satu-satunya lokasi pembuatan kamera domestiknya) ke sebuah kilang utama di Thailand.
“Tahap kualiti produk kami masih dapat ‘dipertahankan’ walaupun dihasilkan di luar negara,” kata seorang pegawai syarikat.
Nikon telah ‘memimpin’ industri bersama Canon Inc. sejak melancarkan kamera pertamanya pada tahun 1948. Pun begitu, syarikat itu menghadapi persaingan sengit sejak beberapa tahun yang lalu sehingga kerugian bersih kumpulan terbesarnya telah mencatat sebanyak 34.4 bilion yen (RM1.2 bilion) pada tahun fiskal yang berakhir pada bulan Mac.
Secara domestik, Nikon hanya menghasilkan model D6 iaitu kamera refleks lensa tunggal digital. Ia juga dikenali sebagai model teratas yang menyasarkan jurugambar profesional dan dihasilkan di kilangnya di Natori di wilayah timur laut Miyagi.
Nikon juga merancang untuk menutup dua buah kilang di wilayah Yagamata dan Fukushima yang menjadi lokasi pemprosesan bahagian lensa yang boleh ditanggalkan untuk kamera digital.
Sumber: The Mainichi