Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Parlimen Israel, Knesset Tolak Rang Undang-Undang Ben Gvir Untuk Hadkan Bunyi Azan Di Masjid

Knesset Tolak Rang Undang-Undang Ben Gvir
Kredit: AFP

Parlimen Israel, Knesset menolak rang undang-undang yang bertujuan mengehadkan penggunaan pembesar suara di masjid bagi melaungkan azan selepas 63 anggota parlimen mengundi menentang cadangan itu, manakala 45 lagi menyokongnya.

Rang undang-undang yang dibawa oleh anggota parti sayap kanan Otzma Yehudit itu mendapat tentangan daripada gabungan pimpinan Gadi Eisenkot, pengerusi parti Yashar, sementara kebanyakan anggota parlimen Yahudi ultra-Ortodoks tidak hadir ketika pengundian berlangsung.

Mereka sebelum ini turut menolak beberapa versi rang undang-undang sama yang dikenali sebagai 'Rang Undang-Undang Muazin' sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Cadangan itu sudah lama diperjuangkan oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, yang mengetuai parti Otzma Yehudit dan terkenal dengan pendirian sayap kanannya.

Knesset Tolak Rang Undang-Undang Ben Gvir

Jika diluluskan, rang undang-undang berkenaan akan mewajibkan pihak masjid mendapatkan permit daripada Menteri Perlindungan Alam Sekitar sebelum menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan.

Selain itu, pihak polis juga akan diberikan kuasa untuk menghentikan penggunaan pembesar suara serta merampas peralatan berkenaan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

Masjid yang didapati melanggar ketetapan itu turut berdepan denda sehingga 50,000 shekel Israel (kira-kira RM68,000).

Bagaimanapun, anggota parlimen Arab mengecam cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan menindas masyarakat Islam di Israel.

Mereka turut mendakwa rang undang-undang itu dibawa oleh seorang menteri yang secara terbuka menunjukkan sikap bermusuhan terhadap masyarakat Islam di Israel.

Dalam kenyataan selepas keputusan pengundian diumumkan, Otzma Yehudit menuduh parti-parti yang menolak rang undang-undang itu sebagai pihak yang “bergabung dengan penyokong keganasan”.

Tuduhan itu merujuk kepada dua parti yang mempunyai sokongan majoriti masyarakat Arab, iaitu Ra'am dan Joint List.

Parti itu turut menyasarkan pengerusi Yisrael Beytenu, Avigdor Liberman, dengan menuduhnya bersikap hipokrit kerana partinya pernah menyokong rang undang-undang sama ketika penggal parlimen terdahulu.

Sebelum pengundian berlangsung, perbahasan mengenai cadangan itu turut mencetuskan pertengkaran antara Ben Gvir dengan beberapa anggota parlimen Arab.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Ben Gvir menengking mereka dengan berkata, “Kamu keluar, keluarga kamu juga keluar, penyokong keganasan keluar.”

Tindakan itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Knesset, Eitan Ginzburg, campur tangan sehingga Ben Gvir memanggilnya “bodoh”.

Susulan tindakannya itu, Ben Gvir diarahkan keluar dari dewan persidangan sebelum pengundian diteruskan.