Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Saintis Malaysia Pertama Menang “Oscars Of Science”, Kenali Dr Swee Lay Thein

Aina Munirah
Dr Swee Lay Thein
Kredit: Breakthrough/The Shaw Prize via YouTube

Sains dan dunia perubatan merupakan dua bidang yang saling berkait rapat dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Malah, pelbagai penemuan saintifik telah membantu manusia memahami fungsi tubuh badan, mengenal pasti punca penyakit serta mencari kaedah rawatan yang lebih berkesan.

Bukan itu sahaja, perkembangan teknologi moden dalam bidang perubatan juga membolehkan pelbagai rawatan dilakukan dengan lebih pantas, tepat dan selamat, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit di seluruh dunia.

Dr Swee Lay Thein catat sejarah

Baru-baru ini, seorang pakar perunding hematologi dari Malaysia, Dr Swee Lay Thein, melakar sejarah dengan kejayaannya menemukan cara untuk mengaktifkan semula hemoglobin janin bagi menggantikan hemoglobin rosak yang menyebabkan penyakit sel sabit dan beta-thalassemia.

Beliau telah memenangi Breakthrough Prize 2026 dan sekali gus menjadikan anak jati Kuantan itu sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan tersebut.

Kredit: Breakthrough

Anugerah tersebut juga dianggarkan bernilai AS$3 juta dan sering digelar sebagai Oscars of Science. Ia turut diberikan kepada Profesor Pediatrik Terbilang David G. Nathan di Harvard Medical School, Stuart Orkin.

Kerja penyelidikan Dr Swee dan Orkin menyumbang kepada pembangunan Casgevy yang dianggap sebagai penawar fungsi pertama bagi penyakit sel sabit dan beta-talasemia teruk.

Rawatan tersebut berfungsi dengan mengaktifkan semula hemoglobin janin, iaitu sejenis hemoglobin yang wujud sebelum kelahiran dan tidak menyebabkan kerosakan sel berbahaya yang dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Penyelidikan mereka tertumpu kepada usaha menyekat BCL11A, iaitu pengawal gen yang biasanya mematikan hemoglobin janin apabila kanak-kanak membesar.

Majlis tersebut telah diadakan di Los Angeles, dengan pelakon dan pemenang Anugerah Emmy James Corden kembali buat kali keempat sebagai pengacara pada malam itu.

Sebanyak enam Hadiah Breakthrough bernilai AS$3 juta setiap satu telah dianugerahkan dalam bidang Sains Hayat, Fizik Asas dan Matematik.

"Tahun ini, jumlah wang hadiah mencecah AS$18.75 juta, menjadikan keseluruhan jumlah yang telah dianugerahkan sepanjang 15 tahun Hadiah Breakthrough melebihi AS$340 juta," kongsi Breakthrough.

Dr Swee yang merupakan ketua dan penyelidik kanan di Bahagian Sel Sabit, Institut Jantung, Paru-paru dan Darah Kebangsaan Amerika Syarikat, dalam ucapannya sempat mengimbau kempali perjalanan hidupnya yang tidak disangka-sangka.

"Sebagai seorang kanak-kanak yang bermain di landasan kereta api lama di Malaysia, saya tidak pernah bermimpi bahawa saya akan berada di sini hari ini," ujar beliau.

Malah, tempoh kajian dan penyelidikan selama lima dekad itu menjadi satu kenangan yang istimewa terutamanya bagi mereka yang sebelum ini meragui nilai sains.

“Menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian peribadi dan ia milik semua yang percaya kepada saya, membimbing saya dan juga negara yang membentuk diri saya.

“Saya berharap ia akan memberi mesej kepada golongan muda di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara bahawa latar belakang mereka tidak menentukan apa yang mampu mereka capai," tambahnya.

Terima anugerah The Shaw Prize

Pada 2024 beliau juga telah menerima The Shaw Prize dalam bidang Sains Hayat dan Perubatan di Hong Kong Convention and Ehxibition Centre.

Kredit: The Shaw Prize via YouTube

Ini sekali gus menjadi simbol dua pencapaian penting dalam sejarah manusia iaitu penemuan beliau tentang mekanisme genetik yang boleh mengubah hemoglobin antara peringkat janin dan dewasa, serta membawa kepada penawar rawatan pertama di dunia bagi beta-talassemia dan anemia sel sabit.

Bukan itu sahaja, ini juga menjadikan beliau sebagai penerima wanita keenam dalam sejarah anugerah tersebut.

Menurut laporan dari Tatler, sejak diperkenalkan pada tahun 2002 sehingga tahun lalu, hanya terdapat lima penerima wanita dalam kategori sains hayat dan perubatan daripada keseluruhan 43 penerima, manakala Dr Swee merupakan satu-satunya saintis wanita yang memenangi anugerah itu pada tahun 2024.

“Perkara itu agak mengejutkan, bukan? Saya tidak mahu dikenali hanya sebagai wanita dalam STEM.

“Saya lebih suka dilihat sebagai seseorang yang telah menyumbang kepada penyelidikan saintifik. Namun, itu tidak mengubah hakikat bahawa saya satu-satunya penerima wanita The Shaw Prize," tambah beliau dalam ucapannya.

Kredit: Tatler

Menurut beliau, kemenangan The Shaw Prize bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi peringatan mengenai cabaran dan peluang berterusan untuk wanita dalam bidang ini.

Peluang ini menekankan keperluan untuk terus menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita serta golongan yang kurang diwakili agar menceburi dan cemerlang dalam disiplin sains.

"Saya berharap akan wujud masa depan di mana kepelbagaian dalam kalangan penerima anugerah menjadi perkara biasa, bukannya pengecualian," tambahnya.

Kredit: Tatler

Imbau kembali perjalanan hidup

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Dr Swee menyifatkan penemuan luar biasa yang dicapainya sepanjang kerjaya serta sikap tidak mudah berputus asa, yang dianggapnya sebagai ciri penting bagi seorang penyelidik banyak dipengaruhi oleh ibunya.

Dilahirkan di Kuantan, Dr Swee merupakan seorang individu yang berasal daripada keluarga sederhana yang dahulunya tidak mampu menghantarnya ke universiti.

“Ibu saya membesarkan sembilan orang anak seorang diri. Walaupun beliau tidak menamatkan persekolahan, beliau sangat menghargai pendidikan.

"Disebabkan beliau, saya sentiasa percaya kepada kerja keras," katanya.

Ketika di sekolah, beliau meminati bidang biologi dan biokimia. Beliau kemudian memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian perubatan di Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan menjadikannya satu-satunya ahli keluarga yang memperoleh ijazah universiti.

Melihat kekurangan teknologi perubatan moden serta infrastruktur di Malaysia pada era 1970-an, beliau berpindah ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian.

Kredit: Tatler

Dari situ, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk saintis kanan di Weatherall Institute of Molecular Medicine dan profesor hematologi molekul di King's College London, selain berkhidmat sebagai doktor dan pengarah klinikal di Pusat Sel Darah Merah King's College Hospital.

Pada tahun 2015, beliau berpindah ke Washington untuk menyertai National Institutes of Health, yang ketika itu baru membuka cawangan khusus dalam kajian penyakit sel sabit.

Mula berjinak dalam bidang hematologi sejak tahun 1982

Pada tahun 1982, beliau menyertai Weatherall Institute of Molecular Medicine di University of Oxford sebagai felo klinikal junior, di mana beliau menimba ilmu di bawah pakar hematologi terkenal, Sir David Weatherall.

Beliau mula mengenal pasti pesakit yang mengalami bentuk beta-talassemia yang lebih ringan dan mengumpulkan sampel darah daripada pesakit serta ahli keluarga mereka dengan tujuan mengenal pasti gen yang berkaitan dengan tahap keterukan berbeza bagi penyakit darah tersebut.

Beliau dan pasukannya mengambil masa dua dekad sebelum mencapai kejayaan besar apabila mereka mengenal pasti gen BCL11A.

Kredit: Tatler

Penghujung tahun 2000-an menyaksikan penciptaan teknologi penyuntingan genom pertama dunia, CRISPR, yang membolehkan saintis lain menyunting gen tersebut dalam sel stem pesakit yang diekstrak, sekali gus membantu mengatasi kesan beta-talassemia dan gangguan penyakit sel sabit.

Dalam usaha cipta ubat bagi anemia sel sabit

Beliau kini sedang mencipta ubat bagi anemia sel sabit yang boleh menjadi lebih mudah diakses oleh masyarakat di seluruh dunia dan daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

Ubat berbentuk tablet oral yang diambil setiap hari itu membantu memperlahankan proses pembentukan sel sabit, mengurangkan kemusnahan sel darah merah serta melegakan beberapa simptom anemia sel sabit.

“Pesakit boleh hidup dengan penyakit itu tanpa perlu menjalani terapi gen. Saya sentiasa teruja untuk meneroka ubat baharu dan kaedah alternatif bagi merawat pesakit sel sabit,” katanya.

Malah, beliau kini mempunyai idea untuk membangunkan alat yang dapat membantu meramal tahap keterukan penyakit dalam kalangan pesakit sel sabit, sekali gus membantu doktor menentukan rawatan paling sesuai pada peringkat awal.

Ingin lebih ramai kaum wanita jadi tenaga utama dalam bidang tersebut

Dengan segala pencapaiannya di setiap peringkat perjalanan kerjaya, Dr Swee telah membanggakan keluarga dan negaranya.

“Saya gembira dapat mewakili kaum dan jantina saya, tetapi sepatutnya ada lebih ramai lagi seperti kami.

“Secara sejarahnya, wanita perlu bekerja lebih keras dalam pendidikan dan kerjaya mereka. Kami dianggap sebagai penjaga utama di rumah, jadi kami perlu bijak mengimbangi pelbagai tanggungjawab untuk berjaya serta mahir melakukan pelbagai tugas serentak," tambah beliau.

Beliau berharap hasil kerjanya bukan sahaja membuka peluang kepada kemajuan manusia dalam bidang penjagaan kesihatan, malah menjadi contoh bahawa wanita juga mampu menjadi tenaga utama dalam industri tersebut.