Pakaian Biasa, Grounding Shoes & Tanpa Jam Pintar, Ramai Kagum Dengan Semangat Pakcik Ariffin
Acara sukan lasak bukan sekadar menguji kekuatan fizikal, malah menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat yang tinggi daripada setiap peserta.
Kebiasaannya, peserta akan tampil dengan pakaian sukan khas serta kelengkapan bersesuaian bagi menghadapi cabaran berenang, berbasikal dan berlari.
Namun, berbeza pula dengan seorang peserta warga emas yang mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan penampilan cukup sederhana sepanjang acara berkenaan.
Kelibat Ariffin Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Pakcik Ariffin menjadi bualan warga maya apabila beliau dilihat hanya mengenakan pakaian biasa termasuk kasut grounding shoes, tidak seperti kebanyakan peserta lain yang lengkap dengan kelengkapan sukan khusus.
Untuk rekod, Pakcik Ariffin sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai selepas berjaya menamatkan acara larian Malaysia Taman Negara Ultra 2026 dengan berkaki ayam.
Penampilan sederhana Pakcik Ariffin ketika IRONMAN 70.3 Langkawi raih pujian
Menjengah ke Threads, beberapa pengguna dilihat berkongsi gambar dan video Pakcik Ariffin sepanjang acara berlangsung.
Antara yang menarik perhatian ialah perkongsian @ashnordin_ yang mendedahkan bahawa pakaian sama dipakai Pakcik Ariffin untuk ketiga-tiga acara, iaitu berenang, berbasikal dan berlari.
Malah, dia turut berkongsi beberapa perkara menarik mengenai Pakcik Ariffin, termasuk tidak menggunakan jam pintar serta tetap tersenyum walaupun berlari di bawah panas terik.
“Baju inilah yang dia pakai untuk berenang, berbasikal dan berlari. Tiada jam pintar, berlari memakai kasut pun hanya kerana diwajibkan. Berlari di bawah panas terik tetapi tetap senyum tidak pernah lekang,” ujarnya.
Pengguna @fsl_fze turut memberikan penghormatan kepada Pakcik Ariffin yang berjaya menamatkan acara berkenaan sebagai salah seorang peserta kategori M60-64 dengan menduduki tempat kesembilan.
Dia turut tertarik dengan penampilan warga emas itu yang tetap menjaga aurat serta hanya memakai kasut biasa berbanding jenama kasut sukan terkenal.
“Tabik hormat Pakcik Ariffin. Salah seorang peserta yang berjaya menamatkan acara dalam kategori M60-64 dan mendapat tempat kesembilan. Kalau dilihat pada pakaian pakcik, aurat tetap terjaga. Kasut yang dipakainya bukan ASICS atau Nike, sebaliknya kasut biasa,” tulisnya.
Semangat Pakcik Ariffin turut jadi insprasi ramai
Selain penampilannya yang sederhana, penyertaan Pakcik Ariffin turut mengundang rasa kagum dalam kalangan pengguna Threads yang melihatnya sebagai sumber inspirasi.
Pengguna @memangii menyifatkan Pakcik Ariffin sebagai individu yang cukup mengagumkan sehingga mengingatkannya kepada bapanya sendiri yang turut aktif melakukan aktiviti berjalan kaki.
“Pakcik benar-benar memberikan inspirasi kepada saya. Bukan saya seorang, malah seluruh rakyat Malaysia kenal Pakcik Ariffin hari ni. Tengok Pakcik Ariffin teringat ayah saya, tapi tidaklah seaktif pakcik. Sekadar berjalan pantas (brisk walk) pagi petang sejauh 10 kilometer pun saya sudah bangga,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna @ziziey11 berpendapat bahawa penyertaan Pakcik Ariffin membawa makna lebih besar apabila beliau berjaya memecahkan persepsi masyarakat mengenai batasan usia.
“Orang lain datang nak pecahkan rekod, Pakcik Ariffin datang nak pecahkan persepsi tentang umur. Legenda terbina dengan cara tersendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, @ku_amiruldin & @langkawirunners turut meluahkan rasa kagum melihat Pakcik Ariffin yang masih mampu tersenyum ketika menyertai acara berkenaan.
“Pakcik bukan calang-calang, masih boleh tersenyum. Tapi bahagian singgah di stesen air tu hebat,” komen @ku_amiruldin.
Usia bukan penghalang untuk terus mencabar diri
Penampilan sederhana Pakcik Ariffin mungkin berbeza daripada peserta lain, namun semangat dan pencapaiannya membuktikan bahawa kejayaan tidak bergantung pada kelengkapan yang dimiliki.


