Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

NRES Dan JKPTG Pacu Transformasi Digital e-Tanah Negeri Sembilan

Syamimi
NRES

NRES Dan JKPTG Pacu Transformasi Digital e-Tanah Negeri Sembilan

Pelaksanaan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik atau e-Tanah Negeri Sembilan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam agenda transformasi digital pentadbiran tanah negara yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG). 

Majlis Peluncuran Sistem e-Tanah Negeri Sembilan yang berlangsung di Kuala Lumpur disempurnakan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, NRES, JKPTG, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) serta pihak konsesi, Puncak Tegap Sdn. Bhd. 

Peluncuran ini bukan sekadar simbol permulaan pembangunan sistem baharu, sebaliknya mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan tanah yang lebih cekap, telus, berintegriti dan mesra rakyat. 

Menurut teks ucapan YB Menteri NRES yang dibacakan oleh Datuk Muhammad Yasir Bin Yahya, Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial NRES, Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam merealisasikan aspirasi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Dalam konteks ini, NRES berperanan menerajui tadbir urus sumber asli secara bersepadu dengan memanfaatkan penggunaan sumber optimum, teknologi terkini dan struktur tadbir urus yang efisien, termasuk dalam memastikan urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara sistematik di seluruh negara. 

YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di Kuala Lumpur.

Keperluan kepada pendigitalan pentadbiran tanah menjadi semakin mendesak apabila sebanyak 416,413 transaksi harta tanah direkodkan sepanjang tahun 2025, dengan nilai keseluruhan mencecah ratusan bilion ringgit. Transaksi tersebut melibatkan sektor perumahan, perindustrian, komersial dan pertanian yang masing-masing memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Angka besar itu membuktikan bahawa pentadbiran tanah bukan sekadar urusan kaunter atau dokumentasi, malah merupakan komponen penting dalam ekosistem ekonomi negara. Kecekapan urusan tanah memberi kesan langsung kepada pembangunan, pelaburan, kutipan hasil negeri, pemilikan hartanah serta keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan. 

Dalam landskap inilah, JKPTG tampil sebagai agensi utama yang menyokong dan menggerakkan perluasan Sistem e-Tanah di peringkat nasional. Peranan JKPTG amat signifikan dalam memastikan pelaksanaan sistem ini berjalan secara tersusun, selaras dengan dasar pentadbiran tanah negara dan memenuhi keperluan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. 

Melalui kepakaran, penyelarasan dan pengalaman JKPTG, agenda e-Tanah dapat diterjemahkan daripada dasar kepada pelaksanaan sebenar di lapangan. JKPTG bukan sahaja menjadi penghubung penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, malah turut menyokong aspek tadbir urus, pelaksanaan, penyelarasan teknikal serta pemantauan kemajuan sistem. 

Pelaksanaan e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta memperlihatkan model kolaborasi strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta. Bermula dengan pelaksanaan rintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2017, Sistem e-Tanah kini telah berjaya diguna pakai di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Perak, Selangor serta Terengganu. 

Suasana sekitar Majlis Peluncuran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. Majlis menyaksikan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebagai tanda sokongan padu terhadap agenda transformasi digital pentadbiran tanah negara.

Perkembangan ini memperlihatkan keberkesanan peranan NRES dan JKPTG dalam memperluas agenda pendigitalan pentadbiran tanah secara berfasa dan berimpak tinggi. Pada tahun ini, Sistem e-Tanah bagi Negeri Melaka disasarkan siap dan dapat digunakan oleh pentadbiran tanah negeri, manakala pembangunan bagi Negeri Kedah sedang giat dilaksanakan dan dijangka mula digunakan pada tahun 2027. 

Bagi Negeri Sembilan, kelulusan Jemaah Menteri bagi pelaksanaan Sistem e-Tanah telah diberikan pada 21 Februari 2024. Susulan kelulusan tersebut, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak syarikat telah mengadakan sesi libat urus serta rundingan berterusan sehingga perjanjian konsesi berjaya ditandatangani. Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan dijangka siap pada tahun 2028, melibatkan tempoh pembangunan selama dua tahun. 

YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada NRES,JKPTG dan UKAS JPM atas sokongan, komitmen serta kerjasama berterusan dalam merealisasikan Projek e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta untuk Negeri Sembilan. Beliau turut menyifatkan pemilihan Negeri Sembilan sebagai negeri ke-11 dalam perluasan projek e-Tanah sebagai satu pengiktirafan penting kepada negeri tersebut.

Pelaksanaan e-Tanah Negeri Sembilan pada kali ini membawa harapan baharu dana bukan sekadar kesinambungan projek digitalisasi, tetapi satu usaha pembaharuan yang lebih matang, tersusun dan berasaskan keperluan sebenar pentadbiran tanah negeri serta rakyat. 

Kerajaan Negeri Sembilan sendiri telah menunjukkan kesediaan tinggi dalam pendigitalan urusan tanah. Sejak tahun 2019, pelbagai sistem telah dibangunkan melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, termasuk e-Bio, e-Check, Cukai DEN, e-STRATA, e-Adat, Sistem Kutipan Hasil Tanah, e-PST dan Portal ePTGNS. Sistem-sistem ini telah memudahkan urusan seperti bayaran cukai tanah dan cukai petak, pembelian carian rasmi dan persendirian serta semakan perserahan urus niaga dan bukan urus niaga. 

Sesi bergambar bersama tetamu kehormat semasa Majlis Peluncuran rasmi Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di Kuala Lumpur. (dari kiri ke kanan) Encik Mr. Nigel Lee, wakil Puncak Tegap Sdn. Bhd.; YBhg. Dato' Hj. Mohd Fauzi bin Mohd Yatim, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (KPTG); YBhg. Dato' Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan; YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan; YBhg. Datuk Muhammad Yasir bin Yahya, Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial NRES; YBrs. Tuan Mohd Faizal bin Abdul Manap, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan; serta Syed Azmin, wakil Puncak Tegap Sdn. Bhd.

Pencapaian pendigitalan Negeri Sembilan menunjukkan trend yang sangat positif. Portal ePTGNS merekodkan peningkatan pengguna berdaftar daripada 22,741 orang pada tahun 2021 kepada 88,062 orang sehingga April 2026. Dari segi transaksi digital pula, jumlah urusan meningkat daripada 134,292 urusan pada tahun 2022 kepada 234,420 urusan pada tahun 2025, iaitu peningkatan hampir 174.55 peratus. 

Nilai transaksi bagi pendaftaran urus niaga dan bukan urus niaga secara dalam talian melalui e-Perserahan turut meningkat daripada RM38.751 juta pada tahun 2024 kepada RM49.887 juta pada tahun 2025, mencatatkan peningkatan sebanyak RM11.137 juta. Dari aspek kutipan hasil pula, bayaran cukai tanah secara dalam talian melonjak daripada RM24.482 juta pada tahun 2022 kepada RM109.633 juta pada tahun 2025. 

Lebih membanggakan, dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2026 sahaja, kutipan hasil tanah secara dalam talian telah mencapai RM44.794 juta, melibatkan 107,380 transaksi digital, iaitu peningkatan melebihi 300 peratus berbanding tempoh sama pada April 2025. Pencapaian ini membuktikan bahawa rakyat Negeri Sembilan semakin bersedia beralih daripada urusan manual kepada perkhidmatan digital yang lebih mudah, selamat, cepat dan berkesan. 

Pelaksanaan e-Tanah Negeri Sembilan dijangka memberi impak besar kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan tanah. Antara hasrat utama Kerajaan Negeri ialah mempercepat proses kerja, memperkukuh ketelusan dan integriti, meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan pengurusan data tanah lebih bersepadu, tepat dan selamat. 

Sesi penyampaian cenderahati oleh YB Dato' Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan kepada YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di Kuala Lumpur.

Malah, urusan pendaftaran pindah milik tanah yang kini dapat diselesaikan dalam tempoh satu hari berpotensi dipercepat kepada hanya beberapa jam selepas pelaksanaan e-Tanah versi 2.0. Ini menunjukkan bahawa e-Tanah bukan sekadar sistem teknologi, tetapi satu transformasi menyeluruh yang melibatkan perubahan cara kerja, budaya organisasi dan pemikiran warga pentadbiran tanah.

Dalam masa yang sama, kejayaan pelaksanaan e-Tanah di negeri-negeri lain turut memberi isyarat positif kepada Negeri Sembilan. Sehingga 30 September 2025, peratusan transaksi dalam Sistem e-Tanah di Wilayah Persekutuan telah mencecah 72 peratus, manakala Negeri Selangor yang mula menggunakan sistem ini pada Oktober 2023 telah mencatatkan transaksi dalam talian sebanyak 57 peratus. 

Pencapaian tersebut membuktikan bahawa transformasi digital pentadbiran tanah boleh diterima dengan baik apabila disokong oleh kepimpinan yang jelas, latihan mencukupi, hebahan berterusan dan komitmen jentera pelaksana. Sehubungan itu, pelantikan Champion bagi Sistem e-Tanah Negeri Sembilan menjadi elemen penting untuk memastikan sistem ini benar-benar difahami, digunakan dan dibudayakan dalam pentadbiran tanah negeri. 

Turut hadir YB Dato' Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan; YBhg. Dato' Hj. Mohd Fauzi bin Hj. Mohd Yatim, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan; Tuan Mohd Faizal bin Abdul Manap, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan; YBhg. Datuk Muhammad Yasir Bin Yahya, Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial NRES; Tuan Syed Azmin bin Syed Nor,Pengerusi Puncak Tegap Sdn. Bhd.; serta Tuan Muhammad Rosli bin Muhammad Ja'afar, Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Kemajuan Pengurusan dan Perundangan (SKPP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan. 

Sesi bergambar melibatkan barisan tetamu kehormat bersama para penggerak dan warga kerja di sebalik Majlis Peluncuran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhannya, Majlis Peluncuran Sistem e-Tanah Negeri Sembilan memperlihatkan kesungguhan NRES sebagai peneraju dasar dan JKPTG sebagai pemacu utama pentadbiran tanah negara dalam memastikan transformasi digital tanah dilaksanakan secara berkesan, mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat. 

Dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, JKPTG, PTG Negeri Sembilan, UKAS JPM dan pihak swasta, Sistem e-Tanah Negeri Sembilan diyakini mampu menjadi game changer kepada landskap pentadbiran tanah negara. 

Lebih daripada sebuah sistem digital, e-Tanah Negeri Sembilan adalah simbol pembaharuan pentadbiran awam yang mengutamakan kecekapan, ketelusan, integriti dan kesejahteraan rakyat sekaligus mengangkat peranan strategik NRES dan JKPTG sebagai peneraju transformasi pentadbiran tanah negara.