Ada yang gemar membaca seorang diri di atas katil. Ada pula yang sanggup berjam-jam menyiapkan teka-teki jigsaw di meja makan.
Namun, hobi sebenarnya tidak semestinya dilakukan sendirian.
Jika anda mahu menambah kenalan, mengeratkan hubungan sedia ada atau sekadar mahu keluar rumah dan melakukan sesuatu yang menyeronokkan, hobi secara berkumpulan boleh menjadi pilihan yang menarik.
Lebih menarik, anda tidak perlu terlalu memikirkan topik untuk berbual kerana sudah ada minat yang sama untuk dikongsi. Daripada bertukar tip berkebun hinggalah berbincang mengenai buku kegemaran, perbualan biasanya mengalir dengan lebih mudah.
Menurut Harvard Health Publishing, dapatan kajian pada 2023 menunjukkan individu yang mempunyai hobi melaporkan tahap kesihatan dan kepuasan hidup yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mempunyai hobi.
Apabila hobi turut membuka ruang untuk berhubung dengan orang lain, manfaatnya menjadi lebih besar.
Jadi, jika anda sedang mencari aktiviti baharu yang bukan sahaja mengisi masa lapang tetapi berpotensi membawa kepada persahabatan baharu, berikut antara pilihan yang boleh dicuba.
1. Cuba Buat Tembikar
Pernah teringin menghasilkan cawan atau pasu sendiri?
Kelas tembikar boleh menjadi pilihan menarik kerana kebiasaannya dilakukan dalam suasana berkumpulan. Anda boleh belajar menggunakan roda tembikar, menghasilkan bentuk dengan tangan atau sekadar mencuba sesuatu yang baharu.
Jangan malu untuk bertanya kepada peserta lain mengenai teknik yang digunakan. Mana tahu, hasil tembikar yang pada awalnya senget pun menjadi permulaan kepada persahabatan baharu.
2. Sertai Kelab Buku
Kalau anda memang kaki buku, aktiviti ini mungkin paling mudah untuk dicuba.
Perbincangan mengenai sesebuah buku lazimnya boleh membawa kepada topik yang lebih luas dan perbualan yang lebih mendalam.
Tidak jumpa kelab buku berdekatan? Apa kata tubuhkan sendiri bersama jiran, rakan sekerja atau kenalan lain dan pilih buku berdasarkan minat bersama.
3. Masuk Kelas Memasak

Daripada belajar membuat pasta hinggalah mencuba teknik menghasilkan sushi, kelas memasak bukan sekadar membantu meningkatkan kemahiran di dapur.
Aktiviti menyediakan makanan secara bersama memberikan peluang untuk berkenalan sambil memotong, menumis dan menikmati hasil masakan.
Bonusnya, anda mungkin pulang dengan perut kenyang, kemahiran baharu dan beberapa kenalan.
4. Sertai Permainan Trivia
Suka menguji pengetahuan sambil berseronok?
Cari acara atau pertandingan trivia yang dianjurkan secara berkala di kawasan anda. Aktiviti sebegini biasanya berlangsung dalam suasana santai dan penuh persaingan sihat.
Jika datang seorang diri, jangan segan untuk bertanya sama ada boleh menyertai kumpulan lain. Soalan yang susah dan detik cemas ketika pusingan pantas mungkin menjadi kenangan yang mengeratkan hubungan.
5. Cuba Berkebun Secara Komuniti
Kalau anda sukakan tumbuhan, kebun komuniti boleh menjadi tempat yang sesuai untuk berkenalan dengan jiran dan orang sekeliling.
Aktiviti ini membolehkan anda menanam bunga, buah-buahan atau sayur-sayuran secara bersama, selain menyumbang kepada usaha mencantikkan kawasan dan menyediakan hasil segar untuk komuniti.
Sambil menunggu pokok membesar, anda boleh bertukar tip penjagaan tanaman dan berbual dengan mereka yang mempunyai minat sama.
6. Sertai Aktiviti Sukan Rekreasi
Sukan bukan hanya untuk atlet atau mereka yang aktif ke gim.
Anda boleh mencuba sukan rekreasi seperti bola lisut, kickball atau menyertai kumpulan larian. Kelas kecergasan, tarian dan kumpulan mendaki juga boleh menjadi pilihan.
Tidak perlu terlalu memikirkan tahap kemahiran. Banyak aktiviti rekreasi dewasa direka untuk mereka yang mahu berseronok sambil kekal aktif.
Cuba beberapa aktiviti sehingga anda menemukan sesuatu yang benar-benar diminati.
7. Sertai Kumpulan Kraftangan
Bagi yang sudah mempunyai hobi kreatif seperti mengait, menjahit atau membuat kraf, apa kata lakukan secara berkumpulan?
Kumpulan kraftangan biasanya berkumpul di ruang komuniti, taman atau kedai kraf untuk menghasilkan projek masing-masing sambil berbual.
Suasananya juga lebih santai kerana masing-masing sibuk dengan hasil tangan sendiri. Jadi, perbualan boleh berlaku secara semula jadi tanpa tekanan.
Jangan lupa bawa projek kraftangan anda sendiri!
8. Sertai Kelas Baharu
Daripada penulisan kreatif, reka bentuk bunga hinggalah kelas bahasa asing, kursus untuk orang dewasa boleh menjadi ruang yang baik untuk bertemu individu yang mempunyai minat sama.
Pusat komuniti dan institusi pendidikan tempatan juga sering menawarkan bengkel pada waktu malam atau hujung minggu.
Memandangkan kelas biasanya berlangsung beberapa kali, anda mempunyai lebih banyak peluang untuk mengenali rakan sekelas dengan lebih dekat.
Anjurkan Makan-Makan Bersama
Kalau mahu mengeratkan hubungan dengan rakan sedia ada, cuba anjurkan supper club atau makan malam secara bergilir.
Tidak perlu terlalu formal. Tetapkan tema mudah, tukar tuan rumah setiap kali dan utamakan keseronokan berbanding hidangan yang sempurna.
Kadangkala, duduk semeja sambil menikmati makanan dan berbual kosong sudah cukup untuk mengeratkan hubungan.
Kerana hobi bukan sekadar tentang apa yang kita suka lakukan, tetapi juga siapa yang kita temui sepanjang melakukannya.

