Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Niat seorang lelaki untuk mencari pendapatan tambahan dengan bekerja sebagai ejen khidmat pelanggan dari rumah bertukar menjadi pengalaman hitam apabila dia didakwa dijadikan ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan.
Kisah itu terbongkar menerusi satu hantaran video yang dimuat naik Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashimdi akaun TikTok miliknya.
Menurut mangsa, semuanya bermula apabila dia menerima tawaran kerja dari rumah sebagai ejen khidmat pelanggan lengkap dengan kemudahan penginapan inap desa dan makanan yang disediakan majikan.
Katanya, selepas bersetuju menerima tawaran itu, dia diarahkan membuka akaun bank kononnya untuk tujuan kemasukan gaji.
“Lepas itu mereka suruh saya buka akaun bank sebab nak masukkan gaji. Tapi proses itu dikatakan gagal, jadi saya diminta buka akaun lain berkali-kali sampai berjaya.
“Secara keseluruhan, saya buka empat akaun bank berbeza, selain diminta daftar kad SIM dan buat pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya dalam video yang dikongsikan itu.
Menurutnya, keadaan mula menimbulkan rasa curiga selepas mendapati akaun syarikat yang didaftarkan atas namanya merekodkan transaksi mencurigakan mencecah kira-kira RM2.4 juta.
Ujarnya, situasi menjadi lebih rumit apabila akaun syarikat berstatus Sendirian Berhad (Sdn Bhd) itu sukar untuk ditutup berbanding akaun peribadi biasa.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, modus operandi sindiket berkenaan jelas menunjukkan mangsa telah diperalatkan sebagai ‘keldai akaun’ untuk syarikat yang dipercayai tidak wujud.
“Nama dan akaun anda telah digunakan oleh sebuah syarikat untuk menjadi keldai akaun.
“Apa yang akan berlaku selepas ini, mangsa-mangsa scam seperti penipuan pelaburan palsu, forex dan kripto akan membuat laporan polis terhadap syarikat yang menggunakan nama anda,” katanya.
Menurut beliau, kes seperti ini membuktikan ramai individu sebenarnya terperangkap dalam jerat sindiket tanpa menyedari risiko besar yang bakal ditanggung.
Susulan itu, MHO dijangka mengadakan satu sidang media khas pada Khamis ini bagi membincangkan persoalan sama ada individu yang terpedaya seperti ini wajar diklasifikasikan sebagai mangsa sindiket atau mangsa kelemahan sistem.