Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nak Kekalkan Gambar Dan Alamat MyKad Lama? Ini Caranya Ganti MyKad Baharu

mykad
Kredit: Bernama

Orang ramai yang mahu mendapatkan MyKad Generasi Baharu tetapi masih ingin mengekalkan gambar serta alamat sedia ada boleh menggunakan kiosk biru di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Seorang pengguna Threads, Amirruddin Abdul Rahman berkata, proses penggantian MyKad berkenaan boleh dilakukan dengan mudah menerusi kiosk tersebut tanpa perlu melalui proses yang panjang.

Menerusi satu hantaran video di Threads, beliau berkongsi pengalaman serta panduan kepada orang ramai yang ingin membuat penggantian MyKad sambil mengekalkan maklumat tertentu pada kad pengenalan lama.

“Kalau ada yang nak tukar MyKad baharu tapi nak kekalkan gambar dan alamat sama seperti di MyKad lama, bolehlah terus ke tingkat dua JPN Putrajaya dan ke kiosk biru.

“Lepas call, staf tanya beberapa soalan pengesahan dan boleh collect MyKad baharu dalam masa setengah jam,” katanya.

Menurut Mohd Sakeri, orang ramai yang menggunakan kiosk berkenaan hanya perlu menghubungi nombor yang dipaparkan pada kiosk sebelum operator membuat beberapa soalan pengesahan.

Katanya, proses pengambilan MyKad baharu boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira 30 minit selepas pengesahan dibuat.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian susulan pelaksanaan MyKad Generasi Baharu yang mula dikeluarkan secara berperingkat hari ini.

Beberapa individu sebelum ini turut berkongsi pengalaman menerima antara MyKad terawal dengan reka bentuk baharu berkenaan di media sosial.

Sebanyak 40 cawangan JPN di seluruh negara yang mempunyai kemudahan cetakan boleh menyiapkan MyKad Generasi Baharu pada hari sama, manakala permohonan di cawangan tanpa kemudahan berkenaan mengambil masa sehingga lima hari bekerja.

MyKad Generasi Baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri sebelum ini, termasuk kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap penyulitan lebih tinggi.

Bagaimanapun, orang ramai tidak diwajibkan menukar MyKad sedia ada semata-mata untuk mendapatkan versi baharu sekiranya kad lama masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

JPN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke pejabatnya bagi membuat penggantian kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan.

Intipati
  • Kiosk biru JPN Putrajaya membolehkan pengguna mengekalkan gambar dan alamat MyKad lama.
  • Mohd Sakeri berkata penggantian boleh selesai kira-kira 30 minit selepas pengesahan operator.
  • MyKad Generasi Baharu mempunyai 53 ciri keselamatan, namun pertukaran tidak diwajibkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan