Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang ditetapkan di bawah pengampunan bersyarat dibayar kepada mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakli bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan.
Katanya, pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim membolehkan anak guamnya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Najib Kekal Dipenjara
Walau bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu bergantung kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.
“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang.
“Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” maklum kenyataan itu.
Tambahnya, berhubung pembayaran denda RM50 juta Tetuan Shafee & Co menjelaskan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Selain itu, pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
Najib kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut.
Dalam pada itu, Najib turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat.
“Beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau/
“Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah Parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau.
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan. Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini.
“Pihak kami sesungguhnya dan seikhlas hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai serta semua yang sentiasa mendoakan beliau, dan beliau memohon agar privasi keluarga beliau dihormati,” menurut kenyataan itu.
