Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nahas Lebuh Raya MEX: Pemandu E-Hailing Terima Faedah PERKESO

Syamimi
MEX

Nahas Lebuh Raya MEX: Pemandu E-Hailing Terima Faedah PERKESO

Pemandu e-hailing yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan warga Bangladesh di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 23 April lepas disahkan layak menerima beberapa faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Meskipun semakan awal mendapati status caruman LINDUNG Kendiri pemandu, Jailani Sapiih, 41, telah tamat sebelum kejadian, perlindungan di bawah Akta Pekerja Gig (Akta 872) tetap terpakai kerana platform mengesahkan beliau sedang menjalankan aktiviti e-hailing ketika insiden berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Akta 872 yang mula berkuat kuasa pada 31 Mac lepas memperuntukkan setiap pekerja gig dilindungi melalui mekanisme caruman berasaskan transaksi platform. 

“Dalam kes ini, PERKESO telah memproses Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berdasarkan tempoh cuti sakit selama 41 hari, dari 23 April hingga 2 Jun 2026 berjumlah RM1,230.

“Selain itu, bantuan peralatan pemulihan disalurkan termasuk kerusi roda yang dibekalkan melalui Skim LINDUNG Kendiri bagi membantu proses pemulihan harian mangsa, berikutan kecederaan pada bahagian kepala, kaki dan dada. 

“Semua ini mencerminkan prinsip utama keselamatan sosial di bawah Akta 872 kerana matlamat utamanya adalah untuk melindungi nyawa dan memperuntukkan gantian pendapatan sekiranya ditimpa bencana sewaktu bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohammed Azman memaklumkan bahawa penyedia platform perkhidmatan gig perlu melengkapkan dua proses utama integrasi sistem dengan PERKESO, masingmasing melibatkan pendaftaran maklumat pekerja dan caruman automatik berkadar 1.25 peratus. 

Jelasnya, perangkaan PERKESO setakat semalam menyaksikan tujuh platform penyedia perkhidmatan gig selesai melaksanakan proses pendaftaran.

“Tujuh penyedia platform ini meliputi Airasia Ride Sdn. Bhd.; Kiddocare; Eternal Meteor Sdn Bhd (GOGET); ShopeeFood Malaysia; Troopers Innovation Sdn Bhd; Fastgig Sdn Bhd dan Delivery Hero Malaysia (Foodpanda) Sdn Bhd. 

“Hanya Fastgig Sdn Bhd selesai melengkapkan kedua-dua proses, justeru pekerja gig yang berkhidmat menerusi platform mereka sudah mula melakukan caruman PERKESO secara automatik,” katanya.