Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya memberi jaminan sepenuhnya bahawa MyKad baharu itu tidak akan menjejaskan proses menebus bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
"JPN juga akan memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran ini," katanya.
Menurut JPN, kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu pada bulan Jun ini.
"Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh.
"Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak.
"Ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu tersebut akan memantapkan lagi proses pengesahan identiti penerima.
"MyKad Struktur Baharu tetap menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan," ujarnya.
JPN berkata pihaknya memahami kebimbangan masyarakat, terutamanya golongan rentan yang bergantung kepada bantuan kerajaan.
Justeru, fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan yang diberikan.
"Rakyat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan akan dihentikan jika kad tidak ditukar dengan segera.
"Proses penukaran akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman terperinci mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN," katanya.