Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MUDA Pulau Pinang Sasar Tawan 40 Kerusi DUN Selepas Syed Saddiq Kekal Dibebaskan

SYED SADDIQ
Kredit: Facebook Siranjeev Ram

MUDA Pulau Pinang Sasar Tawan 40 Kerusi DUN Selepas Syed Saddiq Kekal Dibebaskan

Pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman oleh Mahkamah Persekutuan dilihat membuka lembaran baharu buat Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) apabila sayap parti itu di Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk bertanding di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dimuat naik di Facebook hari ini, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Muhammad Danial Abdul Majeed dan S. Siranjeev Ram berkata, keputusan mahkamah itu memberi suntikan semangat kepada parti untuk terus menawarkan alternatif kepada rakyat.

Menurut mereka, keputusan MUDA pada PRN Johor sebelum ini tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap potensi parti tersebut di Pulau Pinang memandangkan landskap politik kedua-dua negeri adalah berbeza.

“Ramai ketawa apabila MUDA kalah di Johor. Mereka lupa politik Johor bukan politik Pulau Pinang.

“Di Pulau Pinang, kami tidak datang untuk menjadi pelengkap, pemecah undi atau sekadar mencukupkan syarat,” katanya.

Mereka berkata, MUDA Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon di kesemua 40 kerusi DUN dengan matlamat mengambil alih pentadbiran negeri.

“Matlamat kami adalah mengambil alih pentadbiran negeri.

“Ramai akan kata kami gila. Dulu pun ramai kata mustahil Barisan Nasional (BN) boleh tumbang di Pulau Pinang. Sejarah sentiasa berpihak kepada mereka yang berani mencabarnya.

“Rakyat Pulau Pinang tidak seharusnya terus memilih antara dua pilihan yang disifatkan sama mengecewakan, sebaliknya sudah tiba masanya negeri itu mempunyai satu pilihan politik yang benar-benar baharu,” ujar mereka.

Terdahulu, Syed Saddiq kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan membabitkan persubahatan melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Keputusan majoriti 2-1 itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.