Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MSDA Gesa Siasatan Menyeluruh Susulan Dua Kematian Aktiviti Selam Skuba Di Tioman

Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) menggesa siasatan menyeluruh, teliti dan berkecuali dijalankan susulan kematian terbaharu melibatkan aktiviti selam skuba berhampiran Kampung Salang, Pulau Tioman pada 30 September lepas.

Presidennya Aminor Azmi Abdul Latip berkata tragedi yang meragut nyawa Mohammed Seyar Musazay itu merupakan kejadian kedua melibatkan kematian berkaitan aktiviti selam skuba rekreasi di Tioman dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata satu lagi kejadian pada 12 September lalu turut meragut nyawa seorang pelancong asing selepas menjalani aktiviti menyelam di pulau berkenaan.

“Dua kematian yang berkaitan dengan aktiviti selam skuba rekreasi di destinasi yang sama dalam tempoh sebulan amat membimbangkan.

“Keadaan ini menuntut perhatian segera terhadap prosedur operasi dan aktiviti dari sudut amalan keselamatan, tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MSDA menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) serta pihak berkuasa berkaitan supaya menjalankan siasatan bersama bagi mengenal pasti fakta sebenar tanpa membuat kesimpulan awal.

Menurut MSDA, siasatan perlu merangkumi semakan terhadap lesen operasi pusat selam, kelayakan dan tauliah profesional pengajar, termasuk status pembaharuan tahunan serta status aktif sijil Emergency First Response (EFR).

Selain itu, aspek pengendalian operasi seperti nisbah pengajar atau penyelia kepada peserta, bilangan petugas, keadaan dan penyelenggaraan peralatan serta prosedur operasi yang digunakan juga perlu diteliti.

MSDA turut mahu prosedur tindak balas kecemasan disemak bagi menentukan sama ada tindakan di lokasi kejadian mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

Aminor Azmi berkata MOTAC dan TDA perlu bekerjasama rapat untuk memperkukuh pemantauan, meningkatkan pemeriksaan berkala dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran peraturan.

“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran serius terhadap prosedur keselamatan, peraturan pelesenan atau terdapat kecuaian, kami menuntut tindakan tegas, termasuk mengarahkan pengendali menghentikan operasi.

“Pengendali yang didapati melakukan kecuaian sedemikian tidak boleh dibiarkan terus beroperasi dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata keselamatan dan kesejahteraan penyelam serta petugas perlu sentiasa menjadi keutamaan, manakala kepentingan perniagaan tidak boleh mengatasi keperluan keselamatan atau menjejaskan amalan menyelam yang selamat dan bertanggungjawab.

Menurutnya, Malaysia telah membina reputasi kukuh sebagai antara destinasi utama selam skuba dan pelancongan marin sejak 40 tahun lalu, justeru semua pihak termasuk pengendali pusat selam, profesional selam skuba, agensi latihan dan pensijilan serta pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan perlu memastikan standard keselamatan terus dipelihara.

MSDA turut mengingatkan kejadian berulang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan industri selam skuba negara.

Justeru, semua pengendali pusat selam, profesional selam skuba serta badan latihan dan pensijilan digesa segera menyemak semula prosedur keselamatan serta tahap kesiapsiagaan kecemasan masing-masing dan membuat penambahbaikan sekiranya perlu.

Intipati
  • MSDA menggesa siasatan menyeluruh selepas dua kematian aktiviti selam skuba di Tioman.
  • Siasatan dicadangkan merangkumi lesen operasi, tauliah pengajar, peralatan dan prosedur kecemasan.
  • MSDA mahu tindakan tegas diambil sekiranya siasatan mendapati pelanggaran serius atau kecuaian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan