Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MOP KLIA Sepang Lancar Perkhidmatan Bas Ulang-alik, Tampil Bertemakan Godzilla

Pengunjung Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (MOP KLIA Sepang) kini boleh menikmati kemudahan pengangkutan yang lebih mudah dengan pelancaran perkhidmatan bas ulang-alik yang menghubungkan pusat beli-belah itu dengan Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menariknya, perkhidmatan bas berkenaan turut menampilkan hiasan bertemakan Godzilla menerusi kerjasama dengan M&M Creations Holdings Sdn. Bhd., pemegang lesen GODZILLA STORE Malaysia yang diberikan oleh TOHO Entertainment Asia Pte. Ltd.

Bas tersebut dihiasi dengan rekaan eksklusif yang diinspirasikan daripada filem terbaharu francais Godzilla, GODZILLA MINUS ZERO. Filem arahan Takashi Yamazaki itu mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 5 November 2026.

Untuk rekod, Yamazaki sebelum ini memenangi Anugerah Akademi bagi kategori Kesan Visual Terbaik menerusi filem Godzilla Minus One pada Anugerah Akademi ke-96.

Bas bertemakan Godzilla itu akan beroperasi sehingga 25 Disember 2026, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Pelancaran perkhidmatan ini juga bertujuan memudahkan pergerakan pengunjung dari lapangan terbang ke pusat beli-belah berkenaan, selain memberi peluang kepada pelancong dan pengunjung tempatan menikmati pelbagai pilihan membeli-belah, makanan serta aktiviti riadah yang disediakan.

Bagi memenuhi permintaan pengunjung, sebanyak dua buah bas akan beroperasi pada hari bekerja, manakala jumlah bas akan ditambah pada hujung minggu bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.

Perkhidmatan bas ulang-alik itu beroperasi setiap 20 minit, bermula 8.20 pagi hingga 10.40 malam, dengan waktu rehat yang telah dijadualkan sepanjang hari.

Pengunjung boleh menaiki bas di lokasi pengambilan yang ditetapkan, iaitu di Terminal 1 KLIA (Aras 1, Pintu Keluar 2, Pintu 2) dan Terminal 2 KLIA (Aras 1, Hab Pengangkutan, Ruang No. 9). Perkhidmatan perjalanan pulang ke MOP KLIA Sepang turut disediakan.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan MFMA Development Sdn. Bhd., TJ Cheah, pelancaran perkhidmatan itu merupakan inisiatif bagi meningkatkan pengalaman pengunjung, khususnya menjelang musim cuti akhir tahun.

Beliau berkata, usaha berkenaan mencerminkan komitmen pihak pengurusan untuk menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih lancar dan selesa kepada pengunjung.

“Pelancaran perkhidmatan bas ulang-alik ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan MOP KLIA Sepang lebih mudah diakses oleh pengunjung, di samping membuka peluang lebih luas kepada penyewa untuk menarik pelanggan.

“Pada masa sama, kerjasama dengan jenama ikonik Godzilla turut memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik, sekali gus menggalakkan pengunjung menerokai pusat beli-belah ini sepanjang musim cuti akhir tahun,” katanya.

Selain pengalaman menaiki bas bertemakan Godzilla, pengunjung yang tiba di MOP KLIA Sepang turut berpeluang mengunjungi reruai aktiviti khas yang menampilkan visual dan elemen interaktif diinspirasikan daripada watak raksasa terkenal itu.

Pengunjung juga boleh mendapatkan pas masuk eksklusif GODZILLA MINUS ZERO yang memberikan gambaran tentang GODZILLA STORE Malaysia di LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC).

Pas masuk itu boleh ditebus secara percuma oleh pengunjung yang memuat turun dan mendaftar sebagai ahli menerusi aplikasi Mitsui Shopping Park MY (MSP MY APP).

Peminat Godzilla juga boleh mengikuti perkembangan terkini, mendapatkan maklumat mengenai barangan eksklusif serta mengetahui aktiviti akan datang menerusi laman Instagram dan Facebook rasmi GODZILLA STORE Malaysia.

Dalam pada itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai ganjaran membeli-belah sepanjang kempen berlangsung.

Pada setiap hujung minggu, pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM250 menerusi minimum dua resit pembelian layak menebus baucar membeli-belah daripada penyewa yang mengambil bahagian.

Baucar berkenaan akan diberikan bersama beg membeli-belah khas Mitsui Outlet Park KLIA Sepang.

Penyewa terpilih turut menawarkan promosi dan diskaun tambahan, manakala aktiviti cabutan bertuah serta pemberian popcorn percuma akan memeriahkan lagi pengalaman pengunjung.

Menariknya, pengalaman Godzilla itu bukan sahaja boleh dinikmati di pusat beli-belah berkenaan, malah peminat di beberapa pasaran terpilih Asia Tenggara kini boleh mendapatkan barangan rasmi menerusi GODZILLA STORE ASIA di platform Shopee.

Kedai dalam talian itu dilancarkan pada 3 November 2026 sempena sambutan Hari Godzilla (Godzilla Day) dan kini menawarkan pelbagai barangan daripada koleksi GODZILLA MINUS ZERO. Lebih banyak produk dijangka diperkenalkan dari semasa ke semasa.

Peminat boleh mengunjungi gedung dalam talian berkenaan menerusi Shopee atau mengikuti akaun Instagram rasmi GODZILLA STORE ASIA untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menerusi pelancaran semula perkhidmatan bas ulang-alik dan pengenalan aktiviti bertemakan Godzilla, MOP KLIA Sepang terus memperkukuh tarikannya sebagai destinasi membeli-belah yang menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman membeli-belah di pusat outlet.

Gabungan kemudahan pengangkutan, aktiviti interaktif dan ganjaran membeli-belah itu diharap dapat memberikan pengalaman lebih menarik kepada pelancong serta pengunjung tempatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara dan aktiviti di MOP KLIA Sepang, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Mitsui Outlet Park KLIA Sepang atau mengikuti Facebook rasminya.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan produk Godzilla di Asia pula boleh didapati menerusi laman Instagram dan Facebook rasmi Godzilla Asia.