Seperti yang diketahui, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada hari ini, 27 Oktober 2026 dan berterusan sehingga Mac 2027.
Keadaan itu berpotensi mengakibatkan kejadian banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Selain itu, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora.
Dalam bahasa yang mudah, monsun ini sinonim dengan nama musim tengkujuh oleh masyarakat.
Selain berdepan dengan fenomena hujan yang berterusan, musim ini juga membawa bersama risiko haiwan yang tidak diundang, menumpang dalam rumah terutamanya.
Sehubungan itu, SK hari ini ingin berkongsikan perkara dan bau di sekitar rumah yang berpotensi menarik kehadiran ular ketika musim hujan ini.
4 Bau Yang Ular 'Suka' Di Rumah

1. Bau najis dan air kencing tikus
Kalau ada tikus berkeliaran di kawasan rumah, kehadirannya mungkin turut menarik perhatian ular.
Ini kerana haiwan pengerat seperti tikus merupakan antara sumber makanan ular. Bau air kencing dan najis yang ditinggalkan boleh menjadi jejak untuk ular mencari mangsanya.
Ketika musim hujan pula, lubang tikus yang dimasuki air boleh menyebabkan haiwan itu berpindah ke kawasan kebun atau rumah.
Apabila ada sumber makanan, ular juga berkemungkinan menjejaki mangsanya hingga ke kawasan berkenaan.
2. Bau najis dan sarang burung
Nampak burung membuat sarang di pokok atau bawah cucur atap rumah mungkin sudah menjadi perkara biasa.
Namun, aktiviti burung bersarang turut menghasilkan jejak bau yang boleh menarik perhatian ular. Sesetengah spesies ular memburu burung dan memakan telurnya.
Bagi beberapa spesies burung, musim pembiakan juga boleh sama dengan musim monsun. Kehadiran burung dan telur dalam sarang boleh menjadi tarikan kepada ular yang sedang mencari makanan.
3. Bau katak dan ikan
Bila hujan turun, bunyi katak bersahut-sahutan memang tidak asing lagi, terutama jika ada kolam atau kawasan air bertakung berhampiran rumah.
Lopak air, longkang tersumbat dan kawasan lembap menyediakan persekitaran yang sesuai untuk katak. Aktiviti serangga di sekitar air bertakung juga boleh menarik reptilia ini.
Katak dan ikan kecil pula merupakan sumber makanan bagi pelbagai spesies ular.
Jadi, kehadiran haiwan tersebut serta jejak baunya boleh menarik ular ke kawasan halaman yang lembap dan digenangi air.
4. Feromon yang ditinggalkan ular lain
Bukan bau mangsa sahaja, jejak kimia daripada ular lain juga boleh menjadi tarikan.
Ular menggunakan feromon untuk mencari pasangan serta mengesan kehadiran ular lain di sekitarnya.
Apabila seekor ular melalui halaman rumah, haiwan itu mungkin meninggalkan jejak kimia yang boleh dikesan oleh ular lain.
Keadaan ini khususnya boleh berlaku apabila musim hujan bertepatan dengan musim mengawan bagi spesies tertentu.
