Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Monowi Cuma Ada Seorang Penduduk, Tapi Bandar Ini Masih ‘Hidup’

Monowi
Kredit: Will Francome via BBC/ Guinness World Records

Sama ada tinggal di kampung atau bandar, kita tentunya hidup dalam keadaan yang bermasyarakat.

Biasanya suasana harian akan dipenuhi dengan kenderaan yang keluar masuk serta pelbagai aktiviti atau urusan.

Tapi pernah atau tidak anda terfikir macam mana agaknya keadaan sebuah bandar yang hanya ada seorang penduduk?

Tiada jiran nak bertegur sapa dan suasana juga mungkin terasa begitu sunyi.

Walaupun sukar untuk dibayangkan, bandar seperti ini sebenarnya wujud dan mungkin masih ramai yang belum mengetahui mengenainya.

Kenali Monowi, bandar yang hanya ada seorang penduduk

Bandar tersebut dikenali sebagai Monowi yang terletak di Nebraska, Amerika Syarikat.

Monowi memegang rekod Guinness World Records sebagai bandar dengan populasi paling sedikit. Bandar itu hanya dihuni oleh seorang wanita, Elsie Eiler yang kini berusia 92 tahun.

Sejak suaminya, Rudy, meninggal dunia pada 2004, Elsie menjadi satu-satunya penduduk bandar tersebut yang direkodkan dalam bancian Amerika Syarikat.

Menetap sejak kecil

Elsie berpindah ke utara Nebraska ketika masih kecil dan membesar bersama lima adik-beradiknya dalam komuniti pertanian seluas kira-kira 0.21 batu persegi itu.

Di situlah juga dia bertemu Rudy ketika mereka belajar di sebuah sekolah kecil yang hanya mempunyai satu bilik darjah.

Pasangan itu pernah meninggalkan Monowi untuk seketika sebelum kembali dan akhirnya memilih untuk menetap semula di situ.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka menyaksikan sendiri populasi Monowi semakin berkurangan apabila golongan muda berpindah keluar dan kegiatan industri mula meninggalkan kawasan berkenaan.

Selepas Rudy meninggal dunia, tinggallah Elsie seorang diri. Namun, jangan sangka kehidupannya sunyi.

Elsie masih mengusahakan Monowi Tavern, sebuah premis yang menjadi tempat penduduk dari kawasan sekitar berkumpul untuk makan, minum dan bersembang.

Kredit: Will Francome via BBC

Dia pernah bekerja sehingga 12 jam sehari, enam hari seminggu dengan menyediakan kopi, minuman serta makanan kepada petani tempatan, rakan-rakan dan pelancong yang singgah yang ingin melihat sendiri bandar unik itu.

Keluarganya memiliki tavern itu sejak 1971 dan harga makanan serta minuman di situ juga dikatakan masih mengingatkan orang ramai kepada harga zaman dahulu.

“Bar ini adalah bandar ini dan saya adalah bandar ini. Kami begitu berkait rapat sehingga sukar membayangkan satu tanpa yang lain.

“Ini rumah saya. Semua kawan saya ada di sini. Kenapa saya perlu pergi?” katanya kepada New York Times.

Datuk Bandar, Pustakawan dan pemilik bar semua dia

Menariknya, bukan sekadar menjadi satu-satunya penduduk, Elsie juga menggalas pelbagai tanggungjawab di Monowi.

Dia merupakan datuk bandar, kerani, bendahari dan setiausaha bandar selain mengusahakan tavern serta menjaga perpustakaan.

Dia turut mengeluarkan lesen minuman keras tahunan untuk dirinya sendiri dan menandatangani dokumen itu, menyediakan makanan di bar serta menguruskan bajet bandar.

Pada 2005, Elsie turut menubuhkan satu-satunya perpustakaan di bandar itu menggunakan kira-kira 5,000 buah buku yang ditinggalkan mendiang suaminya yang merupakan seorang pembaca tegar.

Tanpa Elsie menguruskan urusan pentadbiran dan memfailkan dokumen berkaitan, Monowi mungkin tidak lagi dapat terus wujud sebagai sebuah bandar.

Walaupun semakin dikenali ramai, Elsie tidak terlalu terkesan dengan populariti itu dan sudah biasa menerima kunjungan pelancong yang singgah untuk menikmati minuman di bandar terpencil berkenaan.

Menurut Elsie, Monowi pernah menerima pengunjung dari kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat serta lebih 60 negara.

Kredit: Will Francome via BBC

Namun apa yang membuatkan Elsie terus bertahan di situ bukanlah populariti, sebaliknya hubungan yang masih rapat dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat dari kawasan berhampiran.

Pada 2021, orang ramai turut berkumpul untuk meraikan ulang tahun ke-50 Elsie mengusahakan Monowi Tavern.

Walaupun menjadi satu-satunya penduduk Monowi, Elsie sendiri tidak pernah menganggap kehidupannya kesunyian.

Bagaimanapun, dia sedar masa depan bandar kecil itu banyak bergantung kepadanya. Suatu hari nanti apabila dia sudah tiada, Monowi mungkin hanya tinggal nama.

Intipati
  • Monowi di Nebraska hanya dihuni Elsie Eiler, menurut rekod bancian Amerika Syarikat.
  • Elsie mengusahakan Monowi Tavern, tempat penduduk sekitar dan pelancong singgah berkumpul.
  • Beliau turut menguruskan pentadbiran bandar, lesen minuman keras, bajet dan perpustakaan Monowi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan