Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mokti's Ice Cream Cawangan Puncak Alam Tamat Operasi Sepenuhnya 30 Oktober

Mokti's Ice Cream
Kredit: Threads @foundermoktis

Selepas hampir empat tahun menceriakan pelanggan dengan pelbagai pilihan aiskrim, Mokti’s Ice Cream cawangan Puncak Alam di Bandar Hillpark bakal menamatkan operasi sepenuhnya pada 30 Oktober 2026.

Mokti's Ice Cream cawangan Puncak Alam Tamat Operasi 30 Oktober

Perkara itu dimaklumkan pengasas Moktis Ice Cream, Siti Fatimah Adnan menerusi satu hantaran di Threads, dengan outlet berkenaan merupakan cawangan milik korporat dan bukan outlet francais.

Menurutnya, cawangan berkenaan mula dibuka pada 22 Oktober 2022 sebelum keputusan untuk menamatkan operasi dibuat selepas mengambil kira keadaan kewangan outlet tersebut.

“Dengan notis sebulan, insya-Allah outlet ini akan ditutup sepenuhnya pada 30 Oktober 2026.

“Allah bagi pinjam dalam empat tahun, alhamdulillah,” menurut perkongsian itu.

Pihak Mokti’s turut menjelaskan bahawa faktor utama penutupan adalah apabila jualan yang direkodkan tidak lagi mampu menampung kos operasi, menyebabkan outlet berkenaan mengalami kerugian.

Team Mokti’s jadi kenangan paling berharga

Dalam perkongsian sama, pihak Mokti’s mengakui antara perkara yang paling berat untuk dilepaskan ialah pasukan yang selama ini menguruskan outlet berkenaan.

Malah, terdapat seorang kakitangan yang sudah bersama outlet itu sejak hari pertama ia dibuka dan masih kekal sehingga kini.

“Yang seorang tu dari awal buka sampai sekarang masih ada, sangat komited, rajin dan taat.

“Terpaksa lepaskan bersama satu-satunya outlet Mokti’s yang ada di Wilayah Tengah,” katanya.

Mokti’s turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang tidak pernah jemu berkunjung, memberikan komen serta cadangan penambahbaikan dan membantu mempromosikan jenama berkenaan kepada keluarga serta rakan-rakan.

“Mokti truly appreciates every single one of you,” katanya.

Sebulan terakhir untuk ‘perabeh’ stok aiskrim

Dengan hanya berbaki kira-kira sebulan sebelum operasi ditamatkan, pihak Mokti’s mengajak pelanggan untuk kembali berkunjung dan menikmati aiskrim mereka buat kali terakhir di outlet berkenaan.

“Berbaki sebulan ni, meh la outlet. Perabeh stok aiskrim Mokti’s,” katanya.

Walaupun keputusan menutup outlet itu disifatkan sebagai sesuatu yang menyedihkan, pihak Mokti’s memilih untuk melihatnya sebagai sebahagian daripada perjalanan yang perlu dilalui.

Kredit: Threads @foundermoktis

“Ah, sedih. Tapi Mokti okay. Dunia kan tempat singgah.

“Ada yang Allah bagi untuk kita miliki, ada yang Allah bagi sekadar untuk kita hargai sebelum dipulangkan kembali.

“Terima kasih Allah untuk pinjaman ini,” katanya.

Intipati
  • Mokti’s Ice Cream cawangan Puncak Alam bakal ditutup sepenuhnya pada 30 Oktober 2026.
  • Pengasas Siti Fatimah Adnan berkata outlet milik korporat itu dibuka sejak 22 Oktober 2022.
  • Penutupan dibuat selepas jualan tidak lagi mampu menampung kos operasi outlet berkenaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan