Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi masyarakat India dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.7 juta yang berjaya disalurkan untuk melaksanakan tiga inisiatif utama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), iaitu Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI.
Ketiga-tiga inisiatif itu memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, usahawan dan rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia, YB Dato' Seri Ramanan Ramakrishnan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Program Tuisyen MADANI, Uyarvu MADANI dan Dharma MADANI 2026 anjuran MITRA di Dewan Kalamandapam, Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi Program Tuisyen MADANI 2026, sebanyak 28 pusat tuisyen telah dipilih untuk melaksanakan program itu di tujuh negeri, melibatkan 2,343 pelajar SPM dan STPM dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.63 juta.
Beliau berkata program yang dilaksanakan selama lima bulan bermula Ogos hingga Disember 2026 itu menyediakan kelas tuisyen percuma secara berstruktur bagi meningkatkan pencapaian akademik, mengurangkan jurang pendidikan serta meringankan beban kewangan keluarga.

Sementara itu, menerusi Program Geran Usahawan India B40/M40 (Uyarvu MADANI) Siri I Tahun 2026, seramai 128 usahawan telah dipilih untuk menerima geran berjumlah lebih RM3.05 juta di bawah kategori Micro, Growth dan High.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan membantu usahawan meningkatkan kapasiti operasi, memperkukuh daya saing dan memperluaskan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana masyarakat India.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian geran Program Dharma MADANI Siri 4 kepada 52 rumah ibadat Hindu, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.04 juta.
Secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan RM13.52 juta kepada 676 rumah ibadat Hindu di seluruh negara melalui pelaksanaan Program Dharma MADANI.
Bantuan itu akan menyokong pelaksanaan kelas kebudayaan untuk pelajar serta pembangunan pusat sosial komuniti yang menyediakan ruang bagi aktiviti pembelajaran, kebudayaan dan program kemasyarakatan bagi komuniti setempat.

Dalam ucapannya, Ramanan menegaskan bahawa pembangunan masyarakat India memerlukan pendekatan yang holistik dan mampan.
Beliau berkata kerajaan MADANI komited memastikan setiap lapisan masyarakat India mendapat akses kepada peluang pendidikan yang berkualiti, sokongan keusahawanan yang berimpak tinggi serta bantuan kepada institusi masyarakat yang memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti.
Menurutnya, ketiga-tiga inisiatif itu membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah melabur dalam pembangunan modal insan, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Ramanan turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyalurkan peruntukan RM150 juta kepada MITRA selepas tempoh 16 tahun, sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan masyarakat India.
Beliau berkata, sebagai pimpinan tertinggi kementerian, sokongan berterusan terhadap MITRA amat penting khususnya ketika rundingan peruntukan bagi memastikan bantuan yang diperlukan rakyat dapat disalurkan dengan sewajarnya.
“Kalau benar-benar diperlukan oleh rakyat, khususnya peniaga daripada komuniti India dan pusat-pusat tuisyen yang menyediakan pendidikan kepada anak muda, penting untuk memastikan mereka mendapat bantuan secukupnya mengikut keperluan,” katanya.

Ramanan berkata kerajaan mahu melihat lebih ramai anak muda India berjaya dalam pendidikan, selain lebih ramai usahawan India mampu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau mahu rumah-rumah ibadat terus kekal sebagai institusi penting yang bukan sahaja menyatukan, malah memperkasakan masyarakat secara keseluruhannya.
Beliau turut mengingatkan bahawa bantuan yang disalurkan merupakan satu amanah besar dan berharap semua penerima menguruskan peruntukan berkenaan dengan penuh integriti, akauntabiliti serta tanggungjawab supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai dan memberi impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat.
“Pada akhirnya, saya berharap setiap bantuan yang disalurkan hari ini akan menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan