Malaysia bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian makanan, malah turut mempunyai keunikan budaya serta gaya hidup masyarakat yang tersendiri.
Bagi pelancong asing yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini, terdapat pelbagai perkara yang mungkin kelihatan biasa bagi penduduk tempatan, tetapi sebenarnya sesuatu yang baharu dan menarik untuk diterokai.
8 perkara di Malaysia yang tak disangka-sangka
Menerusi perkongsian seorang pelancong wanita dari luar negara di Tiktok @travel.with.rosy4, terdapat lapan perkara di Malaysia yang mencuri perhatiannya sepanjang berada di negara ini, daripada kepelbagaian budaya hinggalah kebiasaan masyarakat tempatan.
Tiga budaya dalam satu negara
Dia mendapati budaya Melayu, Cina dan India begitu dekat dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Kepelbagaian itu dapat dilihat menerusi makanan, perayaan, bahasa, deretan kedai dan rumah ibadat.
Baginya, gabungan pelbagai budaya ini menjadi antara keunikan Malaysia yang membezakannya daripada negara lain.
Peta digital sangat membantu
Sepanjang berada di Malaysia, dia banyak bergantung pada aplikasi peta untuk mencari pelbagai lokasi menarik.
Aplikasi itu membantunya mencari tempat makan, lokasi sukan, tarikan pelancongan, stesen kereta api dan pintu masuk yang betul.

Dengan adanya eSIM, dia juga dapat mengakses internet ketika berjalan-jalan bagi memudahkan urusan mencari arah dan lokasi.
Dia turut berkongsi bahawa aplikasi eSIM bernama Zero eSIM menjadi pilihannya sepanjang berada di Malaysia.
Rumah Ibadat pelbagai agama boleh ditemui berdekatan
Sebagai pelancong, dia tertarik dengan kepelbagaian agama di Malaysia yang dapat dilihat dengan mudah ketika berjalan di sekitar negara ini.
Walaupun Islam merupakan agama Persekutuan, masyarakat di Malaysia tetap mempunyai ruang untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Baginya, keterbukaan ini menjadi antara perkara menarik yang dapat diperhatikan sepanjang berada di Malaysia.
Dia turut mendapati masjid, kuil Hindu, tokong Buddha dan tokong Cina kadangkala terletak berdekatan antara satu sama lain, khususnya di kawasan kejiranan lama.
Pemandangan itu memberikan gambaran tentang kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Durian ada peraturannya tersendiri
Durian sememangnya cukup popular di Malaysia, namun baunya yang kuat menyebabkan buah itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke sesetengah tempat.
Dia mendapati terdapat papan tanda larangan membawa durian di beberapa hotel, tren dan kawasan tertutup.

Baginya, situasi itu agak melucukan apabila buah yang begitu digemari penduduk tempatan turut dilarang di tempat tertentu disebabkan baunya yang kuat.
Grab memudahkan urusan pengangkutan
Dia turut mendapati perkhidmatan e-hailing seperti Grab banyak digunakan di Malaysia dan memudahkan urusan perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain.
Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh menempah kenderaan, melihat tambang sebelum membuat tempahan dan melakukan pembayaran.
Kemudahan ini menjadikan perjalanan lebih mudah, terutama bagi pelancong yang kurang biasa dengan sistem pengangkutan di negara ini.
Medan selera tawarkan pelbagai pilihan makanan
Medan selera di Malaysia turut menarik perhatiannya kerana menawarkan pelbagai pilihan makanan di satu lokasi.
Dia mendapati pengunjung boleh memilih hidangan Melayu, Cina dan India daripada gerai yang berbeza sebelum menikmati makanan bersama-sama di meja yang sama.

Konsep ini memudahkannya mencuba pelbagai hidangan tempatan tanpa perlu mengunjungi banyak restoran berasingan.
Teh Tarik dibuat dengan cara istimewa
Selain makanan, cara penyediaan teh tarik turut menjadi antara perkara yang menarik perhatiannya.
Dia menjelaskan bahawa teh tarik disediakan dengan menuang teh bersusu secara berulang kali antara dua bekas dari ketinggian tertentu sehingga menghasilkan lapisan buih di permukaannya.

Minuman yang manis dan berkrim itu menjadi antara minuman popular di Malaysia, selain menawarkan pengalaman tersendiri kepada pelancong yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza.
Restoran mamak jadi sebahagian kehidupan harian
Restoran mamak merupakan antara tempat makan yang mudah ditemui di Malaysia dan turut menarik perhatiannya sepanjang berada di negara ini.
Restoran yang lazimnya dikendalikan oleh masyarakat India Muslim itu menawarkan pelbagai hidangan seperti roti canai, nasi kandar, mi goreng dan teh tarik.
Dia turut menyedari bahawa banyak restoran mamak beroperasi hingga lewat malam, menjadikannya lokasi pilihan masyarakat untuk menjamu selera selepas bekerja atau keluar bersama rakan-rakan.
Suasana santai serta pilihan makanan yang pelbagai menjadikan restoran mamak antara pengalaman menarik yang boleh diterokai pelancong ketika berada di Malaysia.

