Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dah lebih sebulan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mula beroperasi, dengan laluan sepanjang 37.6 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia.
Menariknya, LRT3 juga ada laluan bawah tanah sepanjang kira-kira 2.5 kilometer, yang membolehkan tren bergerak di bawah tanah tanpa mengganggu kawasan di atasnya.
Tapi pernah terfikir tak macam mana sebenarnya terowong sebesar itu dibina?
Bayangkan satu mesin gergasi sepanjang puluhan meter bergerak perlahan-lahan di bawah tanah, memecahkan batu, mengorek tanah dan pada masa sama membina laluan yang bakal digunakan ribuan penumpang setiap hari.
Itulah antara teknologi di sebalik pembinaan terowong moden yang mungkin tidak pernah kita lihat, tetapi memainkan peranan besar dalam pembangunan infrastruktur Malaysia.
Daripada lebuh raya seperti SMART dan SPRINT hinggalah sistem pengangkutan awam seperti MRT dan LRT, teknologi terowong kini menjadi sebahagian penting dalam membangunkan rangkaian pengangkutan di kawasan bandar yang semakin padat.
Dalam sejarah pembinaan terowong, kerja menggali bawah tanah dulu banyak bergantung kepada kaedah tradisional seperti penggerudian dan letupan, terutama bagi kawasan berbatu.
Tapi, kemajuan teknologi membawa kepada penggunaan Tunnel Boring Machine (TBM), mesin khas yang direka untuk menggali terowong dengan lebih selamat dan efisien.
TBM pertama kali diperkenalkan pada abad ke-19 di Eropah. Mesin ini mula menunjukkan kemampuan luar biasa apabila sebuah TBM berjaya menggali lebih daripada 1.8 kilometer melalui batu kapur di England antara tahun 1882 hingga 1883.
Di Malaysia pula, penggunaan TBM bermula pada tahun 1994 menerusi projek Sg. Kelinchi Transfer Tunnel. Sejak itu, teknologi ini digunakan dalam pelbagai projek infrastruktur besar termasuk SPRINT Highway dan Stormwater and Road Management Tunnel (SMART).
Secara mudahnya, TBM berfungsi seperti “kilang bergerak” di bawah tanah.
Bahagian hadapan mesin ini ada kepala pemotong berpusing yang akan menghancurkan tanah dan batu di laluan yang ditetapkan. Bahan yang telah dikorek kemudiannya dihantar menggunakan sistem penghantar sebelum dibawa keluar dari terowong.
Pada masa sama, silinder hidraulik akan menolak mesin bergerak ke hadapan secara berterusan, manakala bahagian belakang mesin memasang struktur konkrit untuk membentuk dinding terowong.
Proses ini membolehkan kerja penggalian dilakukan secara berterusan tanpa perlu membuka kawasan permukaan tanah yang besar.
Walaupun nampak mudah, pembinaan terowong bukanlah kerja yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana setiap kawasan mempunyai keadaan tanah yang berbeza.
Sebagai contoh, struktur geologi Kuala Lumpur terdiri daripada tiga jenis utama iaitu batu granit keras, kawasan tanah campuran Kenny Hill Formation yang lebih lembut serta kawasan batu kapur berongga atau karst.
Keadaan ini menjadi cabaran besar khususnya untuk projek MRT Lembah Klang kerana laluan terowong perlu melalui kawasan tanah yang berbeza-beza.
Antara risiko yang perlu dielakkan ialah kejadian mendapan tanah, lubang benam atau aliran tanah secara tiba-tiba ketika proses penggalian.
Bagi mengatasi cabaran tersebut, teknologi Variable Density Tunnel Boring Machine (VD-TBM) diperkenalkan.
Menariknya, teknologi ini merupakan antara inovasi pertama seumpamanya di dunia kerana menggabungkan dua sistem utama TBM iaitu Slurry Shield dan Earth Pressure Balance (EPB) dalam satu mesin.
Dengan teknologi ini, mesin ini boleh menyesuaikan operasi mengikut keadaan tanah yang dilalui. Jika kawasan lebih lembut atau tidak stabil, mesin boleh mengubah kaedah kerja bagi memastikan penggalian kekal selamat.
Ringkasnya, VD-TBM ibarat “mesin serba boleh” yang mampu beradaptasi dengan pelbagai jenis keadaan bawah tanah.
Selepas kejayaan VD-TBM, pembangunan teknologi terowong di Malaysia terus berkembang dengan pengenalan Autonomous Tunnel Boring Machine (A-TBM).
Berbeza daripada TBM biasa, A-TBM membolehkan pengendali memantau operasi mesin secara jarak jauh dengan bantuan sistem automasi dan algoritma untuk membantu mengawal pergerakan mesin.
Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pembinaan, malah membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan inovasi sendiri dalam bidang kejuruteraan bawah tanah.
Jadi, setiap kali melalui lebuh raya, menaiki MRT atau melihat pembangunan bandar yang semakin pesat, mungkin ada satu dunia lain yang sedang sibuk bekerja jauh di bawah kaki kita.
Di bawah tanah, ribuan meter terowong dibina bukan sekadar dengan kekuatan mesin, tetapi juga hasil gabungan teknologi, kepakaran dan inovasi manusia.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan