Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Menara Berkembar PETRONAS Jadi Tuan Rumah, Himpunkan Ikon Menara Dunia Sempena Persidangan WFGT

MENARA
Dari kiri: Encik Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains; Mr Jean-Yves Ghazi, Pengarah Eksekutif World Federation of Great Towers; dan Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Berhad.

Menara Berkembar PETRONAS Jadi Tuan Rumah, Himpunkan Ikon Menara Dunia Sempena Persidangan WFGT

Menara Berkembar PETRONAS bakal menjadi tumpuan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah Persidangan Tahunan World Federation of Great Towers (WFGT) 2026 yang akan berlangsung dari 14 hingga 18 September 2026. Persidangan berprestij itu dijangka menghimpunkan kira-kira 100 delegasi antarabangsa terdiri daripada pengendali menara ikonik dunia serta pakar industri pelancongan dari pelbagai negara.

Sebagai mercu tanda utama di tengah bandar raya Kuala Lumpur (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS bukan sekadar sebuah ikon seni bina yang dikenali di seluruh dunia, malah turut menjadi sebahagian penting dalam landskap pembangunan bandar raya Kuala Lumpur melalui KLCCP Stapled Group di bawah KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT).

KLCCP Stapled Group yang terdiri daripada KLCC Property Holdings Berhad dan KLCC REIT yang merupakan stapled security terbesar dan satu-satunya seumpamanya di Malaysia, dengan portfolio aset komersial premium serta mercu tanda ikonik yang terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju hartanah dan destinasi bertaraf dunia negara.

Ditubuhkan pada tahun 1989, World Federation of Great Towers merupakan rangkaian antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan lebih 50 menara ikonik dari lebih 20 negara dan menerima lebih 45 juta pengunjung setiap tahun. Persidangan tahunannya menjadi platform eksklusif untuk ahli-ahli berkongsi kepakaran, strategi operasi serta pendekatan baharu dalam mempertingkat pengalaman pelawat dan kelestarian komersial.

Mengangkat Malaysia di Persada Pelancongan Global

Penganjuran persidangan ini turut memperkukuhkan aspirasi negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dalam memperhebat sektor pelancongan, menarik lebih ramai pelawat antarabangsa dan memperluaskan kedudukan Malaysia di pentas dunia.

Kehadiran pengurusan tertinggi daripada mercu tanda terkenal dunia dijangka membuka peluang besar kepada Malaysia dalam aspek perkongsian ilmu, penanda aras industri serta kerjasama strategik jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pelancongan menara, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pelawat negara secara menyeluruh.

Membentuk Masa Depan Pengalaman Pelawat Global

Bertemakan “In Pursuit of Excellence”, persidangan ini akan memberi fokus kepada bagaimana menara-menara ikonik dunia dapat terus kekal relevan dalam landskap pelancongan yang semakin berkembang, khususnya apabila pelawat kini mencari pengalaman yang lebih interaktif, bermakna dan diperkasakan teknologi.

Menerusi sesi perkongsian pakar, pembentangan industri dan perbincangan bersama pemain global, para delegasi akan meneroka pendekatan inovatif dalam mentransformasikan pengalaman lawatan tradisional kepada destinasi pelbagai dimensi yang mampu meningkatkan penglibatan pelawat, kunjungan berulang dan potensi ekonomi baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holding Berhad and KLCC REIT, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany berkata, “Penganjuran Persidangan WFGT 2026 merupakan satu penghormatan besar buat kita dan kawasan KLCC secara keseluruhannya. Ia mencerminkan keyakinan komuniti global terhadap keupayaan kita dalam menawarkan pengalaman bertaraf dunia sambil menghimpunkan pemain utama industri pelancongan menara.”

“Platform ini bukan sahaja membuka peluang untuk mengetengahkan keunikan Menara Berkembar PETRONAS, malah memperlihatkan Presint KLCC sebagai destinasi yang dinamik, mesra pelawat dan bersedia menghadapi masa depan. Ia juga menjadi ruang penting untuk membina kerjasama strategik, bertukar idea dan bersama-sama membentuk evolusi mercu tanda ikonik dunia sebagai destinasi yang terus relevan di peringkat global.”

Encik Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd yang menguruskan operasi dek tinjau di Menara Berkembar PETRONAS berkata, “Sebagai pengendali dan peneraju pengalaman PETRONAS Twin Towers Sky Xperience, kami berbangga dapat menghimpunkan beberapa menara ikonik dan destinasi pelancongan terkemuka dunia di bawah satu platform global. 

“Persidangan ini mencerminkan keupayaan kami yang semakin kukuh dalam menyampaikan pengalaman bermakna kepada pengunjung melalui gabungan budaya, penerokaan dan inovasi. Menerusi PETRONAS Twin Towers Sky Xperience, kami komited untuk terus memperkaya pengalaman yang interaktif dan berkesan, yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu serta mewujudkan hubungan yang lebih dekat antara pengunjung dan destinasi. Kami juga amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran pemimpin-pemimpin menara ikonik dunia ke Kuala Lumpur, sambil memperkenalkan keramahan dan layanan mesra Malaysia kepada komuniti antarabangsa.”

Pengarah Eksekutif World Federation of Great Towers, Jean-Yves Ghazi berkata, “Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Menara Berkembar PETRONAS untuk menganjurkan persidangan tahunan ini di Kuala Lumpur, sebuah destinasi yang terkenal dengan layanan hospitaliti bertaraf dunia. Menara Berkembar PETRONAS sememangnya antara mercu tanda paling ikonik dunia, manakala Malaysia pula menawarkan daya tarikan pelancongan yang kukuh dengan budaya yang mesra dan sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelawat dari seluruh dunia.”

“Persidangan tahunan ini merupakan platform penting untuk ahli-ahli berkumpul, berkongsi idea, mencari penyelesaian bersama serta mempelajari standard operasi antara satu sama lain. Dalam era jangkaan pelawat yang sentiasa berubah, perbincangan seperti ini amat penting untuk membantu menara-menara ikonik dunia terus menawarkan pengalaman yang lebih menarik, bermakna dan bersedia untuk masa hadapan.”

Persidangan ini turut mendapat sokongan daripada ahli WFGT dari Malaysia iaitu Kuala Lumpur Tower dan Kuantan 188 yang akan menjadi sebahagian daripada pengalaman khas delegasi antarabangsa menerusi lawatan dan aktiviti terpilih, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan menara di Malaysia kepada dunia.

Walaupun persidangan ini hanya terbuka kepada ahli WFGT, kehadirannya di Kuala Lumpur jelas mencerminkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam landskap pelancongan global menerusi perkongsian kepakaran antarabangsa, pengukuhan kerjasama destinasi serta usaha memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk kepada pengalaman pelawat bertaraf dunia.