Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan dua tindakan mahkamah terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan dalam talian yang memudaratkan di YouTube.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menuntut ganti rugi RM300 juta bagi setiap saman, menjadikan keseluruhan tuntutan berjumlah RM600 juta.
Setiap tuntutan merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
Menurut suruhanjaya itu, kedua-dua kes melibatkan perkara berbeza dan berkaitan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.
MCMC memaklumkan tuntutan berkenaan bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih 50,000 kandungan memudaratkan, yang dikaitkannya dengan dakwaan kegagalan sistemik Google.
Tuntutan itu turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa serta keperluan mencegah ketidakpatuhan sama daripada berulang.
Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian, scam dan penipuan.
Menurut MCMC, tuntutan dalam kes itu berasaskan dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang, syarat lesen berkaitan serta kecuaian.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, suruhanjaya itu mengemukakan 74,703 laporan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.
Daripada laporan berkaitan perjudian itu, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh sehari, manakala 4,950 tidak menerima sebarang maklum balas.
MCMC turut memaklumkan 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, sementara 35 laporan mengambil masa lebih 90 hari.
Menurut suruhanjaya itu, angka berkenaan menunjukkan skala penyebaran kandungan memudaratkan serta kelewatan dalam menanganinya.
Saman kedua pula melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif yang sewajarnya berhubung penerbitan semula kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang dikenali sebagai Papagomo.
Menurut MCMC, kandungan berkenaan tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026.
Suruhanjaya itu menegaskan semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing.
MCMC turut menggesa penyedia platform mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan pengguna.
Menurutnya, kedua-dua saman itu merupakan sebahagian usaha berterusan untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian serta menangani penyebaran kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah.

