Selain makanan dan budaya tempatan yang unik, Malaysia turut mempunyai pelbagai masjid dengan seni bina menarik yang mampu mencuri perhatian pelancong luar, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Malah, ada yang menjadikan masjid sebagai antara lokasi yang mahu dikunjungi ketika bercuti di negara ini.
Kawan Teringin Lawat Masjid
Baru-baru ini, pempengaruh media sosial, Maryam Younarae berkongsi mengenai dua rakannya dari Korea Selatan yang pertama kali datang ke Malaysia dan mahu melawat sebuah masjid.
Bagi memenuhi hasrat mereka, Maryam meminjamkan jubah miliknya selain membantu memakaikan tudung kepada kedua-dua rakannya sebelum mereka berkunjung ke masjid bersama-sama.

Menurut Maryam, hatinya tersentuh setiap kali orang di sekelilingnya menunjukkan rasa ingin tahu dan cuba memahami Islam.
“Mungkin ini salah satu sebab kenapa Allah tempatkan saya di sini.
“Terima kasih kerana ingin tahu, bertanya dan cuba memahami sesuatu yang begitu berharga buat saya. Alhamdulillah,” katanya.
Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik, Maryam dilihat membawa kedua-dua rakannya berkunjung ke Masjid Putra, Putrajaya yang cukup dikenali dengan seni bina dan kubah berwarna merah jambu.

Perkongsiannya itu menarik perhatian netizen dan ada yang berterima kasih kepada Maryam kerana menunjukkan keindahan Islam kepada rakan-rakannya.
“Alhamdulillah terima kasih sebab sebarkan keindahan Islam”
“Happy tengok kawan-kawan Maryam tidak memilih untuk jauhkan diri bila Maryam convert tapi menerima dengan sangat baik. Tahniah Maryam dapat sahabat-sahabat yang baik”
“Saya doakan asbab Maryam.. Kawan-kawan diberi hidayah dari Allah untuk kenal Islam dengan lebih mendalam”
Untuk rekod, Maryam memeluk Islam pada 11 Julai 2019 sebelum mendirikan rumah tangga dengan Ryzal Ibrahim pada 15 Ogos tahun sama.


