Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia, Russia Perluas Mobiliti Pelajar Dan Kerjasama Akademik Menerusi Mesyuarat JC-ESTC

MOBILITI
Kredit: Facebook Zambry Abdul Kadir

Malaysia memberi perhatian kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik bersama Russia, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi menerusi kerjasama dua hala.

Perkara itu dicapai dalam perbincangan kedua-dua negara pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang berlangsung di Vladivostok, Russia bermula hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi turut merangkumi penyelidikan bersama, kerjasama universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan bidang strategik masa hadapan.

“Antara perbincangan lain ialah usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik dan teknologi baharu.

“Ini termasuk memperkukuh jaringan penyelidikan serta inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zambry, mesyuarat itu dipengerusikan beliau bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Russia, Valery Falkov yang juga Pengerusi Bersama JC-ESTC bagi pihak Russia.

Jelasnya, JC-ESTC yang ditubuhkan pada 2015 merupakan platform rasmi utama antara Malaysia dan Russia bagi menyelaras serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.

Katanya, mesyuarat kali ini amat signifikan dalam usaha kedua-dua negara menterjemahkan hubungan sedia terjalin kepada bentuk kerjasama lebih konkrit dan memberikan manfaat bersama.

“Mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil daripada 18 kementerian dan agensi berkaitan sekali gus mencerminkan keluasan skop serta kepentingan hubungan Malaysia-Russia yang merangkumi bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan,” katanya.

Zambry berkata, mesyuarat berkenaan turut menjadi ruang untuk kedua-dua negara menilai kemajuan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini, mengenal pasti cabaran serta menetapkan bidang keutamaan baharu untuk dilaksanakan secara bersama.

Beliau berkata, Malaysia mahu JC-ESTC menjadi platform yang berorientasikan tindakan dan hasil, bukan sekadar ruang perbincangan.

“Hubungan baik antara kedua-dua negara perlu diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan peluang baharu yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua negara,” ujarnya.

Tambahnya, Malaysia dan Russia mempunyai kekuatan yang saling melengkapi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan.

“Justeru, terdapat ruang yang luas untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi tahap kerjasama berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati,” katanya.

Zambry berharap Mesyuarat JC-ESTC Ke-5 itu dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Russia serta menghasilkan kesepakatan dan langkah susulan yang konkrit bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

Intipati
  • Malaysia dan Russia membincangkan peluasan mobiliti pelajar serta akademik dalam pendidikan tinggi.
  • Kerjasama turut merangkumi penyelidikan bersama, hubungan universiti dan pembangunan bakat bidang strategik.
  • JC-ESTC Ke-5 melibatkan wakil 18 kementerian dan agensi berkaitan kedua-dua negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan