Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Peroleh RM1.14 Trilion Pelaburan Dalam Tempoh 3 Tahun Bawah Pentadbiran Anwar - Sim

Sofea
Malaysia Peroleh RM1.14 Trilion Pelaburan
Kredit: Bernama

Malaysia Peroleh RM1.14 Trilion Pelaburan Dalam Tempoh 3 Tahun Bawah Pentadbiran Anwar - Sim

Malaysia berjaya memperoleh RM1.14 trilion pelaburan diluluskan dalam tempoh tiga tahun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin menerusi satu perkongsian di Facebook berkata eksport Malaysia ke rakan dagang utama turut mencatat rekod baharu bagi tempoh Januari hingga April 2026.

“Dari Januari hingga April 2026, prestasi perdagangan Malaysia mencatat pencapaian luar biasa.

“Nilai perdagangan melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh hanya empat bulan, iaitu sebulan lebih awal berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sim berkata Anwar bekerja keras untuk menarik pelaburan asing dan domestik sejak hari pertama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Selama tiga tahun berturut-turut di bawah kepimpinan PMX, Malaysia mencatat pencapaian pelaburan bersejarah iaitu RM329.5 bilion pada 2023, RM384.4 bilion pada 2024 dan RM426.7 bilion pada 2025.

“Secara keseluruhan, Malaysia berjaya memperoleh RM1.14 trilion pelaburan diluluskan di bawah pentadbiran beliau,” katanya.

Menurutnya, projek pelaburan lazimnya mengambil masa untuk direalisasikan, bermula daripada pemerolehan tanah, pembinaan kilang, pemasangan mesin, pengambilan pekerja hingga memulakan operasi.

Beliau berkata impak penuh pelaburan itu kebiasaannya hanya dapat dilihat selepas beberapa tahun.

“Kini, selepas tiga tahun usaha keras Kerajaan MADANI, pelaburan ini mula membuahkan hasil,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM1.127 trilion, dengan nilai eksport RM609.31 bilion dan import RM517.40 bilion.

“Lebihan dagangan meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM91.92 bilion.

“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatat paras tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga April,” katanya.

Kredit: Sim Tze Tzin

Sim berkata formula kepada kejayaan itu mudah, iaitu lebih banyak pelaburan akan mewujudkan lebih banyak kilang, sekali gus meningkatkan pengeluaran barangan.

Beliau berkata peningkatan pengeluaran itu seterusnya menyumbang kepada lebih banyak eksport, lebihan dagangan yang lebih kukuh dan penjanaan lebih banyak kekayaan di Malaysia.

“Inilah hasil kerja keras PMX yang kini mula terbukti.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, MIDA, MATRADE serta semua agensi berkaitan juga wajar diberikan penghargaan,” katanya.