Malaysia kini berada dalam kelompok 14 destinasi pendidikan tinggi utama dunia, sebaris dengan beberapa negara yang menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada.
Lebih menarik, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketiga tertinggi di dunia dalam tempoh lima tahun, dengan peningkatan sebanyak 70 peratus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia turut merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus dalam kelompok 14 destinasi berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan Malaysia semakin mendapat kepercayaan pelajar antarabangsa sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian tinggi.
“Dahulu, apabila bercakap tentang melanjutkan pengajian ke luar negara, ramai yang membayangkan Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.
“Hari ini, Malaysia juga semakin menjadi pilihan pelajar antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Antara faktor yang menjadikan Malaysia pilihan ialah penawaran pendidikan tinggi berkualiti pada kos yang berpatutan.
Zambry berkata, pencapaian itu bukan sekadar berkaitan angka atau kedudukan di peringkat global, sebaliknya mencerminkan keupayaan universiti tempatan, kualiti ahli akademik serta kekuatan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Katanya, perkembangan berkenaan turut menunjukkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia menyediakan pendidikan tinggi berkualiti.
Dalam pada itu, aspirasi negara adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan global.
Menurut Zambry, usaha itu bukan sahaja bertujuan menghantar anak tempatan menimba ilmu di luar negara, malah menarik pelajar antarabangsa datang ke Malaysia.
“Inilah cita-cita besar kita. Menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja menghantar anak bangsanya menimba ilmu ke seluruh dunia, tetapi turut menjadi tempat dunia datang mencari ilmu.
“Dari Malaysia, kita bina masa depan dunia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara atas pencapaian berkenaan serta berharap lebih banyak kejayaan dapat dilakar pada masa hadapan.

