Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Berpotensi Berdepan Ancaman Siber - Anwar

Malaysia Berdepan Ancaman Siber

Malaysia antara negara yang berpotensi menjadi sasaran serangan siber susulan kekuatan sektor digital dan pusat data, selain pendirian tegas negara berhubung isu Palestin dan Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu berdasarkan maklumat risikan kerajaan, namun tidak semua butiran berkaitan ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.

Menurutnya, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan Malaysia berpotensi menjadi sasaran, termasuk keupayaan negara dalam sektor digital dan pembangunan pusat data yang mampu menyaingi Eropah.

Malaysia Berpotensi Berdepan Ancaman Siber

Gambar Hiasan

Selain itu, pendirian Malaysia yang lantang dalam beberapa isu antarabangsa, khususnya Palestin dan Gaza, turut menjadi antara faktor yang dikenal pasti.

“Ada dua perkara, pertama, kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data antara yang terkuat, umpamanya kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.

“Dan kedua, kerana pendirian kita yang agak tegas dalam beberapa isu yang dianggap kontroversial oleh sesetengah negara, terutamanya Eropah dan Amerika Syarikat, terutama soal Palestin dan Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai sama ada Malaysia turut menjadi sasaran serangan siber berdasarkan maklumat risikan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan memandang serius perkembangan ancaman keselamatan antarabangsa susulan maklumat terkini yang diterima daripada agensi berkaitan, termasuk Menteri Dalam Negeri.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu taklimat khas secara tertutup diadakan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada semua Ahli Parlimen, sekiranya mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Menurutnya, taklimat berkenaan penting bagi membolehkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang mengetahui perkembangan terkini berdasarkan maklumat risikan yang diterima.

“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperoleh petang semalam dan pagi tadi oleh Menteri Dalam Negeri juga, hal ini jangan kita pandang ringan.

“Jadi saya mohon kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan terakhir,” katanya.

Sumber:- YouTube
Intipati
  • Anwar berkata Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber berdasarkan maklumat risikan kerajaan.
  • Faktor utama termasuk kekuatan sektor digital, pusat data, dan pendirian tegas mengenai Palestin.
  • Beliau mencadangkan taklimat tertutup MKN kepada Ahli Parlimen mengenai perkembangan ancaman keselamatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan