Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
PONTIAN, 12 Dis (Bernama) — Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Jun lalu, telah membuka ruang kepada sekumpulan 15 pelajar universiti untuk membantu keluarga B40 di Kampung Melayu Raya, Pekan Nenas di sini, menjana pendapatan tambahan melalui perusahaan sosial, Bee Friendz.
Inisiatif itu digerakkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang daripada pelbagai fakulti termasuk Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal.
Menurut Ketua Projek berkenaan Muhammad Rasydan Abd Rashid, 19, perusahaan Bee Friendz dimulakan pada Julai, dengan membekalkan dua unit rumah lebah kepada setiap lima keluarga terpilih, untuk menternak lebah Itama bagi menghasilkan madu kelulut.
Selepas melalui tempoh matang, madu ini kemudiannya akan dituai – sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca untuk dijadikan sebagai produk akhir seperti sabun dobi, sabun basuh tangan, sabun basuh muka dan minuman berasaskan madu.
Muhammad Rasydan berkata, walaupun kuantiti produk yang dihasilkan kecil ketika ini, ia sentiasa habis terjual kerana terdapatnya permintaan tinggi selain daripada kualiti produk yang terjamin.
“Ini dibuktikan dengan pengiktirafan diterima iaitu Anugerah Silver Awards dalam Pertandingan Penciptaan Inovasi Antarabangsa pada bulan lepas,” jelasnya sambil memberitahu produk berkenaan dijual dalam kalangan warga UiTM sendiri, menerusi akaun media sosial Instagram dan Facebook Bee Friendz.
Tambah Muhammad Rasydan, pihaknya berharap projek berkenaan akan dapat memanfaatkan lebih ramai golongan sasar, yang melibatkan diri dengan ternakan lebah kelulut pada masa depan, dengan mewujudkan sebuah komuniti yang aktif dengan projek madu ini.
“Kita nak bantu mereka untuk tingkatkan hasil pendapatan dari segi pembuatan produk yang berinovasi dan juga penjenamaan produk itu sendiri,” katanya lagi.
Sementara itu, Penyelia Program Bee Friendz merangkap Pensyarah Kanan Unit Kimia, Fakuliti Sains Gunaan UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang, Munirah Onn memberitahu, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Mahasiswa Harapan Masyarakat atau dinamakan Duta Jauhar, yang bertujuan untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat Johor.
Tambah Munirah, projek berkenaan dipilih pihaknya kerana ia sesuatu yang praktikal dan mudah dilaksanakan, selain bersesuaian dengan jumlah dana RM5,000 yang disalurkan Yayasan Pelajaran Johor untuk inisiatif berkenaan.
“Penjagaan lebah ini tidak sama seperti menternak haiwan lain yang kita perlu sentiasa jaga dan diberi makan. Lebah ini berupaya mendapatkan makanan mereka sendiri menerusi flora dan fauna yang terdapat di kawasan sekitar, menjadikan ia sesuai sebagai satu punca pendapatan tambahan,” katanya yang memberitahu propolis boleh dijual pada harga RM1,800 bagi 1kg, manakala ‘bee bread’ pada harga RM1,200 bagi 1kg.
Salah seorang peserta program Norani Mohd Halel, 56, berkata, penglibatannya dalam projek berkenaan berjaya menambahkan pendapatan keluarga, yang selama ini bergantung kepada tanaman kampung sahaja.
“Selain dibekalkan dengan rumah lebah sebagai permulaan, saya juga diberi tunjuk ajar bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan hasil madu kelulut yang diinginkan, melibatkan cara pemprosesan dan bagaimana mendapatkan madu yang berkualiti dengan menyediakan tanaman pokok dan bunga sebagai makanan lebah.
“Jika cuaca baik, satu rumah lebah ini dapat menghasilkan kira-kira 1kg madu dalam tempoh sebulan dan boleh dijual pada harga antara RM200 hingga RM300 mengikut pasaran semasa,” katanya.
Sumber: BERNAMA