Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Maaf Cikgu, Saya Tegur...” Pesanan Murid Tingkatan 2 Kepada Cikgunya Buat Ramai Tersentuh

"Maaf cikgu, saya tegur"
Kredit: Threads @syamiminorshah_
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Dalam kehidupan seharian, teguran daripada orang lain kadangkala boleh membuatkan seseorang tersentak dan kembali melihat perkara yang selama ini mungkin dianggap kecil.

Walaupun tidak semua teguran mudah diterima, cara ia disampaikan memainkan peranan penting supaya mesej yang ingin disampaikan tidak disalah anggap.

Ada kalanya, teguran yang paling ringkas dan disampaikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan sebenarnya mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada seseorang yang benar-benar mengambil berat dan memilih untuk menegur dengan penuh rasa hormat.

Begitulah kisah yang dikongsikan seorang guru baru-baru di Threads @syamiminorshah_ , apabila menerima satu teguran daripada seseorang yang tidak disangka-sangka.

Apa yang berlaku mungkin kelihatan kecil pada awalnya, namun cara teguran itu disampaikan membuatkan guru berkenaan tersentuh dan menganggapnya sebagai satu peringatan yang cukup bermakna.

“Maaf cikgu, saya tegur”

Menurutnya, seorang murid lelaki Tingkatan Dua datang kepadanya secara senyap-senyap sambil kelihatan gelisah dan kerap menoleh ke kiri dan kanan.

Pada awalnya, dia menyangka murid itu mahu memaklumkan sesuatu masalah atau perkara penting yang berlaku.

Namun, sangkaannya meleset apabila murid tersebut sebenarnya datang untuk memberikan satu teguran kepadanya.

Menurut guru berkenaan, murid tersebut sememangnya dikenali sebagai seorang yang baik dan sering menawarkan diri untuk membantu guru.

Tegur kerana sayang

Dalam surat yang diberikan, murid tersebut terlebih dahulu memohon maaf kerana bimbang mengganggu masa gurunya sebelum menjelaskan perkara yang ingin disampaikan.

“Assalamualaikum cikgu. Minta maaf kalau mengganggu masa cikgu. Saya nak tegur cikgu, walaupun saya ni tak seberapa.

“Saya nak beritahu yang cikgu, lepas ni boleh tak cikgu amalkan pakai handsock? Sebab waktu cikgu mengajar, saya perasan lengan cikgu terdedah dekat pelajar lelaki sikit sahaja.

“Saya tegur kerana menutup aurat itu wajib dan saya sayang cikgu,” tulis murid tersebut pada kertas berkenaan.

Murid berkenaan turut meminta agar perkara tersebut tidak diberitahu kepada sesiapa kerana dia memilih untuk menyampaikan teguran itu melalui surat kerana berasa malu.

Bagi guru tersebut, teguran berkenaan diterima dengan hati yang terbuka dan dianggap sebagai satu peringatan kecil daripada Allah.

Kredit: Threads @syamiminorshah_

“Kadang kita anggap ringan”

Dalam perkongsian sama, dia mengakui bahawa perkara yang dianggap kecil kadangkala boleh membuatkan seseorang terleka.

“Saya terima nasihat awak dengan hati yang terbuka dan saya anggap ni juga teguran kecil dari Allah untuk hambanya. Kadang kita anggap ringan dan kita malas, kdg pakai, kdg tak pakai, tapi Allah masih sayang dan nak jaga kita.”

Dia turut mendoakan agar anak murid berkenaan membesar menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh.

“Semoga awak membesar jadi lelaki yang baik dan soleh,” ujarnya.

Murid tidak kisah surat dikongsikan

Menjelaskan mengenai perkongsian tersebut, dia berkata permintaan supaya perkara itu tidak diberitahu kepada sesiapa merujuk kepada identiti murid yang memberikan surat berkenaan.

Menurutnya, murid tersebut tidak kisah surat itu dikongsikan dan malah berasa gembira apabila ramai yang turut mendoakan kebaikan buat dirinya.

Dia menjelaskan, perkongsian itu dibuat kerana benar-benar tersentuh dengan tindakan murid tersebut, selain mahu menjadikannya sebagai satu kenangan sepanjang mengajar.

“Terima kasih atas doa yang baik-baik untuk anak murid tersebut dan juga untuk saya. Semoga segala doa tuan/puan berbalik kepada anak-anak tuan/puan juga.

“Saya share tak lain dan tak bukan sebab saya tersentuh dengan tindakan pelajar ni dan sedikit sebanyak sebagai kenangan saya mengajar,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut memohon maaf sekiranya perkongsian tersebut membuatkan ada pihak berasa kurang senang.

Kisah berkenaan secara tidak langsung menunjukkan bahawa teguran yang disampaikan dengan niat baik dan cara yang sopan mampu meninggalkan kesan yang mendalam.

Biarpun masih di bangku sekolah, tindakan murid tersebut untuk menegur gurunya dengan penuh hormat pastinya menjadi satu kenangan bermakna buat guru berkenaan.

Sumber:Threads
Intipati
  • Seorang guru menerima surat teguran sopan daripada murid lelaki Tingkatan Dua.
  • Murid itu menasihatkan gurunya memakai handsock kerana bimbang lengan terdedah kepada pelajar lelaki.
  • Guru tersebut menerima teguran dengan hati terbuka dan menganggapnya peringatan kecil daripada Allah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan