Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama syarikat kumpulannya menyumbang RM420,000 kepada Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 bagi membantu memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jumlah sumbangan itu meningkat 17 peratus berbanding RM360,000 yang disalurkan pada tahun lalu.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin (Bersara), sempena Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.

Majlis itu disempurnakan oleh Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, dan turut dihadiri Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kempen anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu bertujuan membantu veteran yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang terlantar, uzur dan berpendapatan rendah.
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membantu memenuhi keperluan harian, menyediakan peralatan perubatan serta menyalurkan bantuan kecemasan bagi meringankan beban golongan berkenaan.
Mohamed Khaled turut menekankan kepentingan penglibatan sektor korporat dan masyarakat dalam menyokong kebajikan veteran ATM sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.
Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, pihaknya komited memainkan peranan lebih luas dalam memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan warga ATM, khususnya veteran serta keluarga mereka.
“Melalui pelbagai inisiatif dan sumbangan, LTAT akan terus mencari ruang dan peluang untuk menghargai jasa serta membalas pengorbanan wira negara yang telah sekian lama berbakti kepada tanah air,” katanya.
Dalam pada itu, LTAT menyeru rakyat Malaysia, institusi dan sektor korporat untuk bersama sama menjayakan Kempen Tabung Pahlawan, sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan mampu memberi manfaat kepada veteran yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun berikut:
Nama akaun: Tabung Rayuan Hari Pahlawan
Bank: Affin Islamic Bank
Nombor akaun: 1059 5000 3201
LTAT turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha Kementerian Pertahanan dan JHEV ATM dalam melaksanakan inisiatif kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada veteran serta keluarga mereka.

