Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Longkang Dan Parit Tidak Bertuan Di Selangor Bakal Diserah Kepada Agensi Berkaitan Mulai Januari - Izham

longkang
Kredit: Bernama

Bermula Januari tahun depan, semua longkang dan parit tidak bertuan di Selangor akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk diselenggara bagi menyelesaikan isu penyelenggaraan sistem saliran yang berlarutan sekian lama.

Iklan

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti serta menyenaraikan longkang dan parit berkenaan mengikut bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah.

“Jadi, tidak timbul lagi isu tiada keputusan kerana kita sudah membuat ketetapan dan menyelesaikan perkara itu,” katanya ketika penggulungan Rang Undang Undang Enakmen Perbekalan 2027 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab penyelenggaraan berkenaan telah diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada mesyuarat ke 17 tahun 2025.

Sebelum itu, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri membangkitkan isu berkenaan dan menggesa kerajaan negeri mencari penyelesaian muktamad terhadap masalah longkang serta parit tidak bertuan yang didakwa menjadi antara punca kejadian banjir berulang di beberapa kawasan.

Beliau turut mencadangkan supaya aset saliran berkenaan didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membolehkan peruntukan penyelenggaraan digunakan untuk kerja pembersihan, pembaikan dan penaiktarafan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kerajaan negeri turut berdepan cabaran dalam menguruskan lebih 600 kolam takungan yang sebahagian besarnya masih belum mempunyai agensi penyelenggara yang jelas.

Katanya, hanya kira kira 200 kolam takungan berada di bawah seliaan JPS, manakala selebihnya berada di bawah PBT atau pemaju, termasuk pemaju yang sudah tidak lagi beroperasi.

“Mana mana kolam yang boleh kita ambil alih, kita akan usahakan. Bagaimanapun, perkara itu mengambil masa kerana membabitkan tanah persendirian serta proses perundangan sebelum kerajaan negeri boleh mengambil alih pengurusannya,” katanya.

Intipati
  • Longkang dan parit tidak bertuan di Selangor akan diserahkan kepada agensi berkaitan mulai Januari.
  • Kerajaan negeri sudah menyenaraikan aset saliran mengikut bidang kuasa PBT, JPS dan Pejabat Daerah.
  • Selangor turut mengurus lebih 600 kolam takungan, banyaknya masih tanpa agensi penyelenggara jelas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan