Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menjelang fasa kemuncak ibadat haji atau hari Masyair tidak lama lagi, petugas perubatan bersedia memberi perkhidmatan optimum walaupun mungkin berdepan beberapa cabaran.
Ketua Pakar Rombongan Perubatan Haji, Dr Taufik Rosli memaklumkan bahawa semua petugas sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, terutama ketika Masyair nanti.
"Setakat ini, pasukan rombongan perubatan yang saya tengok sekarang memang sangat bersemangat, sangat berkobar-kobar untuk ke arah Masyair.
"Bagi petugas-petugas yang baharu, memang kami sentiasa memberi taklimat kerana kita tahu, kami sentiasa mengingatkan mereka bahawa keseluruhan program haji atau rombongan perubatan ini, yang paling puncak ataupun 50 peratus beban kerjanya nanti akan jatuh di atas Masyair.
"Jadi semua mesti bersedia. Kita nak kurangkan, minimumkan kesilapan ataupun untuk selaraskan semua," katanya.

Menurutnya lagi, antara sektor yang diselaras adalah farmasi, pasukan retrieval, doktor dan paramedik.
"Insha Allah pada hari Masyair nanti, kita boleh beri perkhidmatan yang optimum. Mungkin bukan sempurna, tetapi Insha Allah kita akan beri yang paling optimum, sesuai dengan tenaga kerja yang ada," ujarnya.
Namun, Taufik berkata tahun ini sedikit berbeza kerana mereka bermula daripada awal tanpa ada inpatient atau pesakit wad.
Keadaan ini berbeza daripada tahun lalu yang memperlihatkan kewujudan Pusat Rawatan Syisyah, yang membolehkan pesakit ditempatkan di wad.

"Kalau tanya saya sebagai petugas yang pernah hadir pada tahun lepas, nak dibandingkan dengan tahun ini, saya rasa sangat berbeza.
"Sebab pada tahun lepas, kita masih lagi mempunyai satu pusat perawatan yang kita panggil Pusat Rawatan Syisyah.
"Di mana pada hujung musim tahun lepas sebenarnya, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan bahawa tidak dibenarkan mana-mana negara untuk membuka apa-apa bentuk pusat rawatan ataupun pusat rawatan dalam bentuk inpatient atau pesakit wad.
"Jadi tahun lepas, kita berjaya buka separuh. Maka bebanan untuk Masyair itu tidak nampak sangat.
"Cuma pada tahun ini, kita bermula daripada awal tanpa ada inpatient. Kita sedia maklum bahawa paras untuk discaj, paras ketahanan pesakit Arab dengan ketahanan pesakit Malaysia ini lain," jelasnya.
Taufik berkata jika pesakit discaj dari hospital di Arab dan dirasakan tidak sesuai duduk di dalam maktab, mereka akan disenaraikan sebagai high risk.
Lebih membimbangkan, program Safari Wukuf juga buat pertama kali tiada pada tahun ini.
"Kalau tahun-tahun sebelum ini, kami di rombongan perubatan akan cuba sedaya upaya supaya pesakit mendapat istita’ah.
"Kadang-kadang pesakit yang sakit sedikit-sedikit itu pun kami bawa juga naik bas ataupun apa-apa pengangkutan ke Arafah supaya pesakit boleh berwukuf.
"Tetapi pada tahun ini, kita tiada program Safari Wukuf. Jadi itu yang agak membimbangkan kami sedikit kerana kami risau akan ada ramai pesakit yang kemungkinan besar tidak dapat berwukuf," katanya lagi.
Bagi menyelesaikan perkara itu, pihaknya sentiasa berbincang dengan pihak tertinggi Tabung Haji untuk memaksimumkan perkhidmatan.

Hal ini kerana, pihaknya sedar bahawa jemaah datang dengan harapan untuk berwukuf.
Disebabkan itu juga, mereka telah mewujudkan klinik pakar perubatan yang ditempatkan secara berkala di maktab-maktab.
"Kalau dahulu, di Syisyah sahaja yang ada pakar. Tapi sekarang, macam saya pakar paru-paru, kita tahu ramai yang datang dengan sakit paru-paru, dengan pneumonia, jangkitan kuman paru-paru.
"Jadi kami pergi ke maktab-maktab ini, buka klinik yang kita panggil visiting clinic, klinik pakar. Jadi pesakit boleh terus jumpa pakar berbanding terpaksa menunggu giliran secara step by step," katanya.
Jelas Taufiq lagi, faktor yang menyebabkan ramai jemaah menghidap pneumonia adalah kerana ketahanan badan mereka sendiri.

"Kita tahu bila jemaah datang ke Tanah Suci ini, kita faham ada sebahagiannya memang sudah lama menunggu giliran.
"Jadi semangat dia itu, kita tak boleh nak cantas, tak boleh nak potong. Ada sebahagian pesakit, dia buat ibadah sampai dia terlupa perkara asas iaitu rehat yang cukup, air atau hidrasi yang cukup dan ada sebahagiannya memang terlupa makan ubat," katanya.
Ia merupakan senario biasa yang berlaku kerana apabila badan menjadi stres, sistem imun badan akan turun dan menyebabkan datangnya pelbagai penyakit serta kuman.