Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Liga Perdana Inggeris Seru Peminat Waspada Terhadap Risiko Penstriman Haram Menerusi Kempen “Boot Out Piracy”

Kempen Boot Out Piracy oleh Liga Perdana Inggeris kini kembali di Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peminat bola sepak tentang risiko keselamatan siber yang serius berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan penstriman haram.

Dilancarkan dengan kerjasama Astro selaku rakan penyiar tempatan, kempen ini menampilkan barisan pemain Liga Perdana Inggeris, termasuk kapten Liverpool, Virgil van Dijk; penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo; serta pemain Arsenal, Eberechi Eze. Menerusi siri video kempen, mereka mengetengahkan bahaya sebenar penstriman haram kepada pengguna, termasuk penipuan pancingan data (phishing), perisian hasad (malware), kecurian identiti dan penipuan kewangan.

Walaupun cetak rompak sering dianggap sebagai isu yang berkaitan dengan pelanggaran hak cipta, kajian bebas yang dijalankan oleh pakar keselamatan siber, Profesor Paul Watters, mendedahkan risiko keselamatan siber yang serius terhadap pengguna perkhidmatan penstriman haram. Antara dapatan utama kajian tersebut ialah:

  • Secara purata, laman web cetak rompak didapati 17.3 kali lebih berisiko berbanding laman web arus perdana.

  • 66% daripada laman web yang dinilai diklasifikasikan sebagai mempunyai risiko keselamatan siber yang tinggi atau kritikal.

  • Lebih separuh (54%) daripada laman web yang dinilai menunjukkan aktiviti mencurigakan yang dikaitkan dengan penipuan, pancingan data (phishing) atau perbuatan berniat jahat.

  • Hampir separuh daripada laman web cetak rompak (44%) mendedahkan pengguna kepada iklan berbahaya dan saluran yang membawa kepada penipuan, sekali gus meningkatkan risiko menjadi sasaran penjenayah siber.

Kajian ini mengukuhkan bukti bahawa perkhidmatan penstriman haram sering dikendalikan oleh rangkaian penjenayah siber terancang, manakala penggunaan perkhidmatan tersebut boleh mendedahkan pengguna kepada bahaya serius dalam dunia sebenar, termasuk penipuan, kecurian identiti, pencerobohan akaun dan jangkitan perisian hasad (malware).

Pengarah Undang-Undang – Penguatkuasaan Liga Perdana Inggeris, Stefan Sergot berkata: “Penstriman haram mungkin dilihat sebagai cara percuma dan mudah untuk menonton bola sepak, tetapi kajian ini menunjukkan bahawa perkhidmatan tersebut boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan, kecurian identiti, perisian hasad (malware) dan ancaman dalam talian yang lain.

“Melalui Boot Out Piracy, kami mahu meningkatkan kesedaran peminat tentang risiko penstriman haram dan menggalakkan mereka menikmati aksi Liga Perdana Inggeris dengan selamat, pada kualiti terbaik menerusi perkhidmatan yang sah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan penyiar, platform media sosial dan pihak berkuasa untuk membanteras penstriman haram, di samping memastikan peminat lebih memahami risiko dan ancaman di sebalik perkhidmatan tersebut.”

Kempen ini dilancarkan seiring dengan usaha penguatkuasaan yang semakin dipergiat untuk membanteras penstriman haram, dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada laman web cetak rompak, tetapi juga rangkaian dan perkhidmatan yang membolehkan penstriman haram.

Di Malaysia, antara tindakan penguatkuasaan terkini ialah pertuduhan yang difailkan pada April 2026 terhadap Leong Chin Wang, Hoo Sheau Lew dan Alula Marketing Sdn Bhd, yang didakwa sebagai pengendali MYIPTV4K, sebuah perkhidmatan yang menyediakan akses tanpa kebenaran kepada kandungan siaran yang dilindungi hak cipta. Dalam kes berasingan pada 2025, seorang pengendali inap desa di Johor telah mencapai penyelesaian kewangan dengan Astro berhubung penggunaan peranti penstriman tanpa kebenaran untuk menayangkan kandungan Astro di premis sewaannya. Kedua-dua kes ini menunjukkan usaha berterusan Malaysia dalam menangani pengedaran secara komersial dan penggunaan perkhidmatan penstriman haram.

Ketua Pegawai Kawal Selia & Hal Ehwal Korporat Astro, Laila Saat berkata: “Liga Perdana Inggeris mempunyai peminat yang ramai di Malaysia dan kami mahu mereka terus menikmati aksi bola sepak menerusi pengalaman tontonan yang selamat, diyakini dan berkualiti tinggi. Penstriman haram mungkin kelihatan mudah dan menarik, namun ia boleh mendedahkan pengguna kepada penipuan, perisian hasad (malware), kecurian identiti serta pelbagai ancaman dalam talian.

“Astro akan terus bekerjasama rapat dengan Liga Perdana Inggeris, pihak berkuasa dan rakan industri untuk meningkatkan kesedaran, membanteras cetak rompak serta melindungi pelanggan dan nilai kandungan yang mereka nikmati. Memilih saluran tontonan yang sah bukan sahaja memberikan pengalaman yang lebih selamat, malah membantu melindungi nilai sukan ini serta semua pihak yang membawakan aksi Liga Perdana Inggeris kepada peminat setiap minggu.

“Bersama Liga Perdana Inggeris dan rakan-rakan kami, Astro kekal komited untuk membanteras cetak rompak dan memastikan peminat di Malaysia dapat terus menikmati aksi terbaik Liga Perdana Inggeris.”

Adakah penstriman “percuma” anda sebenarnya mendedahkan anda kepada risiko?

  • Boot Out Piracy menggalakkan peminat supaya berwaspada terhadap tanda-tanda amaran lazim yang dikaitkan dengan perkhidmatan penstriman haram, termasuk:

  • Muat turun yang tidak disahkan – Permintaan untuk memasang aplikasi, perisian atau sambungan pelayar yang tidak dikenali.

  • Tawaran mencurigakan – Akses “percuma” atau pada harga luar biasa murah kepada kandungan sehingga menimbulkan keraguan.

  • Permintaan untuk maklumat sensitif – Permintaan untuk kata laluan, butiran pembayaran atau maklumat peribadi yang lain.

  • Pengalihan dan pop-ups yang tidak dijangka – Laman web yang mengalihkan pengguna ke laman lain atau memaparkan tetingkap timbul dan pautan secara tiba-tiba.

Kempen Boot Out Piracy akan dipaparkan menerusi saluran penyiaran dan platform media sosial di Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam beberapa bulan akan datang, dengan sokongan rakan penyiar Liga Perdana Inggeris, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lain.

Kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas Liga Perdana Inggeris untuk memerangi cetak rompak yang telah dilaksanakan sejak 20 tahun lalu, sekali gus membantu penyokong di seluruh dunia menikmati bola sepak Liga Perdana Inggeris melalui saluran yang sah.

Intipati
  • Liga Perdana Inggeris dan Astro melancarkan semula kempen Boot Out Piracy di Malaysia.
  • Kempen itu memberi amaran tentang phishing, malware, kecurian identiti dan penipuan kewangan.
  • Kajian Profesor Paul Watters mendapati laman cetak rompak jauh lebih berisiko kepada pengguna.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan