Usaha mempercepat kelulusan lesen premis makanan daripada 14 hari kepada sehari antara inisiatif yang diketengahkan dalam Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Wilayah Sabah dan Sarawak 2026 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam kenyataan, inisiatif Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu merupakan antara penambahbaikan yang dikongsikan untuk mempermudah urusan rakyat serta peniaga.
Dewan Bandaraya Kuching Utara pula mempercepat penghantaran notis kompaun daripada 30 hari kepada sehari melalui pendigitalan proses penguatkuasaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman ketika merasmikan konvensyen itu menegaskan kejayaan RKB perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata melalui pengurangan masa menunggu, pertindihan prosedur dan kos pematuhan.
Beliau berkata proses lebih mudah dapat mengurangkan keperluan rakyat berulang-alik ke pejabat kerajaan, manakala keputusan permohonan yang lebih cepat membantu peniaga merancang serta memulakan operasi.
Konvensyen bertemakan “Memacu Reformasi, Memperkasa Produktiviti” itu dianjurkan MPC Wilayah Sabah, MPC Wilayah Sarawak dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran).
Ia menghimpunkan wakil kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan bagi berkongsi amalan terbaik serta memperluas penambahbaikan perkhidmatan awam.
Menurut kenyataan itu, kerjasama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak turut membuahkan hasil melalui pemansuhan keperluan surat sokongan bagi permohonan peluasan kawasan operasi Lesen Pembawa ‘A’ antara kedua-dua negeri, berkuat kuasa 2 Januari 2025.
Langkah berkenaan menghapuskan tempoh menunggu surat sokongan yang sebelum ini dianggarkan sehingga 13 hari.
Ia juga berpotensi menjimatkan kira-kira RM1.37 juta setahun kepada industri, berdasarkan jumlah permohonan serta anggaran kos pematuhan pada 2024.
Di Sabah, inisiatif RKB Mudah Sabah merekodkan 128 projek berdaftar, melebihi sasaran asal 100 projek sebanyak 28 peratus.
Sebanyak 70 projek telah disiapkan, bersamaan 70 peratus daripada sasaran asal berkenaan.
Kerajaan negeri menyeru agensi meneruskan projek yang masih berjalan, mengesahkan hasil penambahbaikan serta mengekalkan proses kerja berkesan melalui pemantauan berkala.
Pengguna perkhidmatan juga perlu dilibatkan bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan menangani masalah sebenar mereka.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mazrina Mohamed Ibramsah yang mewakili Ketua Pengarah MPC menekankan kepentingan meneliti keseluruhan proses permohonan sehingga selesai.
Menurut beliau, usaha itu merangkumi semakan keperluan kawal selia, penyelarasan antara agensi dan pengukuran hasil tanpa menjejaskan integriti, keselamatan serta kepentingan awam.
MPC akan terus menyediakan sokongan kepakaran dan bimbingan teknikal bagi membantu agensi melaksanakan reformasi praktikal yang berasaskan bukti serta memberikan manfaat berterusan.
Konvensyen itu turut memberikan pengiktirafan kepada pasukan projek menerusi lima kategori, iaitu Projek RKB Siap 2025, Projek RKB Berpotensi Tinggi, Anugerah Emas, Anugerah Platinum dan Projek RKB Berimpak Tinggi.
Penganjurannya menyokong Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 Sarawak.

