Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan pada Selasa diadakan dalam suasana yang cukup berbeza apabila berlangsung di dalam gerabak Commissioning Inspection Train (CIT), iaitu tren pemeriksaan dan pengujian yang digunakan bagi proses pentauliahan sistem Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ia merupakan tren dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Gombak, Selangor.


Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata bahawa pengalaman tersebut memberi peluang kepada beliau bersama barisan EXCO untuk meneruskan urusan pentadbiran negeri dalam suasana yang berbeza, di samping terus memberi perhatian terhadap perkara penting berkaitan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.


Menurut beliau, perjalanan itu juga membolehkan barisan kepimpinan negeri menyaksikan sendiri perkembangan projek ECRL yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, penambahbaikan jaringan pengangkutan serta pengukuhan hubungan antara negeri.
“Insya-Allah, kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang serta membawa manfaat besar kepada rakyat dan Negeri Kelantan,” katanya.



